Proses pengambilan tanah projek ECRL di Selangor berjalan lancar - Anthony Loke

Iklan
Anthony Loke. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Proses pengambilan tanah bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor berjalan dengan baik dan lancar, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata ketika ini, proses pengambilan tanah tertumpu di seksyen terakhir jajaran rel berkenaan berdekatan daerah Klang yang melibatkan kawasan berkepadatan tinggi.

Iklan
Iklan

Anthony yakin proses itu dapat diselesaikan mengikut jadual dengan kerjasama kerajaan negeri selain pengalaman syarikat kontraktor yang berjaya menyelesaikan proses pengambilan tanah di Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum ini.

"Saya yakin apa sahaja isu yang timbul berkaitan pengambilan tanah akan diberikan pampasan yang seadilnya," katanya kepada Bernama selepas sesi rakaman program khas Bernama TV bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China di Wisma Bernama hari ini.

Iklan

Menurutnya, setakat ini, kerajaan negeri yang terlibat memberikan kerjasama baik kepada kontraktor projek ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) dalam menyelesaikan isu berkenaan.

"Kerajaan negeri memainkan peranan paling besar dalam menyelesaikan pengambilan tanah kerana mereka (kerajaan negeri) juga tahu bahawa projek ini akan menguntungkan dan memberi manfaat kepada negeri masing-masing," katanya.

Iklan

Beliau berkata, secara keseluruhannya, projek pembinaan rel sepanjang 665 kilometer itu berjalan mengikut jadual dengan jajaran di pantai timur sudah memasuki fasa pembinaan stesen.

Katanya. bahagian paling kritikal pembinaan ECRL iaitu Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer yang melintasi Banjaran Titiwangsa kini mencapai 30 peratus dan akan mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan.

ECRL ialah projek infrastruktur kereta api yang dibangunkan untuk meningkatkan ketersambungan antara negeri-negeri di pantai timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan negeri pantai barat (Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya), yang pada masa ini hanya sebahagian daripadanya dihubungkan perkhidmatan kereta api. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!