Kerajaan peruntuk RM15.11 bilion laksana 270 program keusahawanan

Iklan
Gambar yang dikongsi Ahmad Zahid menerusi Facebook pada Selasa.

SHAH ALAM - Kerajaan memperuntukkan RM15.11 bilion bagi melaksanakan 270 program keusahawanan yang telah dirancang melalui pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) (SMEIPA) 2023/2024, peruntukan itu bakal memanfaatkan 479,350 penerima seluruh negara.

Iklan
Iklan

"Melalui laporan sama, bilangan program dan perbelanjaan bagi program keusahawanan serta pembangunan PMKS secara purata sebanyak 191 program yang telah dilaksanakan setiap tahun dengan komitmen tahunan berjumlah RM9.6 bilion.

"Malah, sebanyak RM15.48 bilion telah dibelanjakan ke atas 258 program berkenaan. Saya melihat pelaporan SMEIPA sedia ada perlu dimantapkan agar dapat dijadikan rujukan utama untuk digunakan sepenuhnya oleh kesemua pemegang taruh.

Iklan

"Ia khususnya kementerian dan agensi yang berada dalam ekosistem keusahawanan agar tidak berlaku lagi pertindihan pelaksanaan program-program PMKS di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) berkata, pelaksanaan Sistem Pendaftaran Status PMKS bertujuan memastikan program yang dilakukan lebih bersasar kepada usahawan dan PMKS dan mengelakkan ketirisan.

Iklan
Tangkap layar hantaran Ahmad Zahid menerusi Facebook pada Selasa.

Menurutnya, mesyuarat MPUPK telah bersetuju menyepadukan Sistem Pendaftaran Status PMKS dengan sistem utama lain seperti Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), Pangkalan Data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan GovTech Malaysia.

"Ia bagi meningkatkan sinergi antara kementerian dan agensi seterusnya menambah baik sistem penyampaian kerajaan terutamanya dalam pembangunan usahawan.

"Selain itu, bagi memastikan usaha penyelarasan bagi ekosistem keusahawanan dan koordinasi program ini, mesyuarat juga telah mengesahkan penambahan keanggotaan sedia ada untuk memperkukuh kerjasama antara kementerian dalam memperkasa pembangunan PMKS di Malaysia,” ujarnya.

Tambah Ahmad Zahid, penambahan keanggotaan tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai tambahan kepada Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Beliau berkata, melalui penglibatan KKDW dan MITI dalam keanggotaan MPUK membolehkan penjajaran dan koordinasi yang lebih bersepadu bagi semua program khususnya bagi menembusi pasaran global serta meluaskan capaian sehingga kawasan luar bandar.

"Kementerian dan agensi kerajaan juga disaran untuk sentiasa memastikan agenda pembangunan usahawan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.

"Tindakan ini amat penting bagi memastikan tiada lagi pertindihan program berlaku, mewujudkan ketelusan yang lebih baik dalam perkhidmatan kerajaan dan mengurangkan pembaziran sumber kerajaan,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!