Keluarga harap proses hantar pulang jasad kru kapal dipercepat

Iklan
Mayat kru kapal lelaki warga Malaysia yang dilaporkan terjatuh ke laut ketika memasang pilot ladder di perairan Chittagong, Bangladesh pada Rabu lepas, ditemukan pasukan penyelamat pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Keluarga Muhammad Isa Muhammad Veeramohan, 31, kru kapal warga Malaysia yang dilaporkan terjatuh ke laut ketika memasang pilot ladder di perairan Chittagong, Bangladesh Rabu lepas, berharap kerajaan dapat membantu mempercepat proses penghantaran pulang jenazah ke Malaysia.

Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut-pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Ikmal Azam Thanaraj Abdullah ketika dihubungi Bernama berkata, hasrat itu dinyatakan oleh keluarga mangsa pada pertemuan beliau bersama mereka pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Sehingga kini, mayat yang ditemukan pada Jumaat lepas itu masih berada di Chattogram Medical College Hospital dan keluarga mengharapkan proses penghantaran pulang mayat dicepatkan.

"Selain itu, pihak PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) juga telah pergi ke rumah arwah (Muhammad Isa) bagi proses bantuan yang sepatutnya,” katanya.

Iklan

Terdahulu, media melaporkan mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat pada 10 Mei lepas, dua hari selepas dilaporkan terjatuh pada 8 Mei kira-kira 8.15 pagi.

Kejadian dilaporkan berlaku sehari selepas kapal terbabit tiba di perairan Chittagong dari Singapura.

Iklan

Sebelum ini, menerusi hantaran dalam aplikasi X oleh pengguna @DanialDDD memaklumkan mangsa yang juga rakan sekerjanya dipercayai telah terjatuh daripada kapal ketika berada di perairan Bangladesh pada Rabu lepas dan memohon orang ramai mendoakan urusan mencari dan menyelamat mangsa dipermudah.

Individu itu turut berkongsi video memaparkan keadaan laut di lokasi kejadian. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!