Kereta sapu sasar penuntut IPT

Iklan
Penuntut IPT yang menjalankan perkhidmatan kereta sapu dikenakan saman.

NILAI - Menyasarkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dengan menawarkan tambang jauh lebih murah menerusi aplikasi Telegram yang hanya boleh diakses secara tertutup.

Itu modus operandi kegiatan kereta sapu yang didapati semakin menjadi-jadi di sekitar Nilai di sini yang dijalankan oleh kebanyakannya adalah penuntut IPT.

Iklan
Iklan

Dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan bermula jam 11 pagi, lima pemandu ditahan dengan tiga daripadanya merupakan penuntut IPT manakala dua lagi graduan IPT.

JPJ menahan sebuah kereta yang menjalankan perkhidmatan kereta sapu.

Seorang penuntut wanita berusia 22 tahun yang menggunakan khidmat kereta sapu berkenaan berkata, dia memilih perkhidmatan itu berbanding teksi atau e-hailing kerana tambang ditawarkan lebih murah.

Iklan

Malah katanya, ia juga lebih cepat dan mudah diperoleh kerana boleh dihubungi menerusi kumpulan Telegram khusus yang mempunyai seramai kira-kira 12,000 ahli.

"Saya hanya perlu menghantar mesej di kumpulan itu untuk buat tempahan dengan beritahu lokasi ingin dituju. Pemandu pula beritahu maklumat kenderaan dan tambang yang perlu dibayar.

Iklan

"Tambang dikenakan pula bergantung pada jarak. Macam saya kalau pergi ke kampus hanya dikenakan caj RM4 dari rumah berbanding menaiki teksi RM6,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi di sini pada Isnin.

Selain itu katanya, perkhidmatan itu pula kebanyakannya ditawarkan oleh pelajar kampusnya dan ia membuatkan mereka rasa lebih selamat.

Seorang pemandu yang juga penuntut IPT ketika ditahan memberi alasan tidak tahu yang perkhidmatan ditawarkan itu adalah salah.

Dia yang berusia 20 tahun berkata, niatnya hanya mahu mencari duit tambahan selain melihat ramai dalam kalangan kawannya turut menawarkan perkhidmatan sama.

"Saya boleh katakan kebanyakan pelajar kampus saya menggunakan kereta sapu kerana caj dikenakan murah.

"Tapi tak sangka pula hari pertama buat, dah kena tahan dengan JPJ dan barulah saya tahu ia satu kesalahan," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, perkhidmatan kereta sapu merupakan kesalahan serius kerana ia berisiko kepada penumpang apabila tidak dilindungi perlindungan insurans.

Hanif menerangkan berkenaan kesalahan menjalankan perkhidmatan kereta sapu.

"Kita menerima aduan berkaitan isu ini daripada ibu bapa yang meluahkan rasa bimbang kerana ia semakin berleluasa selain pengendali e-hailing yang mengadu pendapatan mereka semakin terjejas.

"Mereka yang menjalankan kegiatan mengangkat penumpang dengan kadar bayaran tertentu perlu mempunyai permit yang sah yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat," katanya yang turut serta dalam operasi itu.

Menurutnya, kesemua individu yang menjalankan kegiatan tersebut akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 23(2) iaitu salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!