Ban Sungai Langat pecah punca banjir kilat di Kajang

Iklan

SHAH ALAM - Ban Sungai Langat pecah dikenal pasti antara punca kejadian banjir kilat di beberapa kawasan rendah di Kajang pada Rabu lalu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor akan melaksanakan kerja pembinaan semula Ban Sungai Langat dengan kadar segera.

Iklan
Iklan

Izham


Izham memberitahu, antara faktor lain kejadian banjir kilat itu disebabkan taburan hujan luar biasa pada paras 190 milimeter (mm) dalam tempoh hanya satu jam dan sistem saliran dalaman tidak sistematik.

"Risiko kejadian banjir meningkat terutama apabila berlaku hujan lebat menyebabkan kapasiti saliran sedia ada tidak mencukupi untuk menampung kapasiti air hujan," jelas beliau.

Iklan

Sehubungan itu, katanya, bagi penyelesaian jangka masa panjang bagi menghadapi masalah itu, JPS Selangor telah mengemukakan permohonan projek baharu kepada JPS Malaysia melalui Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 2 pada tahun 2022.

Izham memberitahu, projek itu meliputi penyelesaian secara menyeluruh kejadian banjir bagi daerah Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, permohonan projek itu hanya diluluskan bagi daerah Sepang sahaja di bawah Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT) pada tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya, JPS Selangor sekali lagi mengemukakan permohonan projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Rolling Plan 5 (RP5) iaitu RTB Sungai Langat Fasa 2 (Pakej 1) Daerah Hulu Langat.

"Projek ini merangkumi kerja-kerja pengukuhan, pelebaran, pendalaman sungai, pembinaan sistem pam, kolam takungan dan salur saliran keluar.

"Projek ini telah disenarai pendek serta diangkat kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan kini menunggu pembentangan kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)," jelas beliau.

Sebelum ini media melaporkan, hujan lebat beberapa jam pada petang Rabu menyebabkan beberapa kawasan di pekan Kajang, di sini, dilanda banjir kilat.

Berdasarkan rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan beberapa kawasan dinaiki air.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!