Bayi maut: Ibu bapa heret dua pengasuh ke mahkamah

Iklan
Mohd Rafi (dua, kanan) dan Anis Amalina (tiga, kanan) ditemui selepas sidang akhbar kes saman mereka terhadap dua pengasuh ekoran kematian bayi perempuan, berusia tiga bulan, Jun tahun lalu.

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri yang kehilangan anak tunggalnya berusia tiga bulan, akibat tersedak susu tahun lalu, berjaya memasukkan penghakiman ingkar di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, terhadap dua pengasuh bayi perempuan itu.

Hakim, Zawiyah Saad memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Mohd Rafi Abd Razak, 26, dan isterinya, Anis Amalina Mazlin, 28, selaku plaintif terhadap dua pengasuh wanita, masing-masing berusia 58 dan 35 tahun itu, sebagai defendan.

Iklan
Iklan

Peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff yang mewakili suami isteri itu berkata, mahkamah telah merekodkan penghakiman ingkar pada 7 Mei lalu, dalam saman yang difailkan 9 April.

Menurutnya, plaintif telah memfailkan saman mengikut prosedur, tetapi dua defendan itu yang juga ibu dan anak, telah mengambil masa yang terlalu lama untuk memasukkan kehadiran bagi menjawab saman tersebut.

Iklan

"Kami mendapat tahu, dua defendan ini telah melantik peguam, tetapi hanya selepas penghakiman ingkar direkodkan oleh mahkamah," katanya.

Berdasarkan tuntutan, pada 15 Jun tahun lalu, plaintif pertama iaitu bapa bayi itu telah menghantar anaknya ke rumah defendan pada jam 6.48 pagi.

Iklan

Defendan turut menggesa plaintif untuk mengambil bayi itu dengan segera.

Ketika bergegas pulang, plaintif menghubungi defendan sekali lagi bagi mendapatkan status anaknya, namun dimaklumkan oleh defendan kedua bahawa mangsa telah diambil oleh ambulan.

Memandangkan tiada maklumat, anaknya dibawa ke hospital mana, plaintif pertama bergegas ke hospital berdekatan iaitu Hospital Putrajaya.

Bapa mangsa mendakwa defendan-defendan ini tidak menemani atau membiarkan anaknya berseorangan di dalam ambulan.

Katanya, mereka juga tidak mengambil kisah dengan keberadaan ambulan tersebut, sekali gus menunjukkan defendan tidak mempedulikan keadaan anaknya.

Hasil bedah siasat, pihak Hospital Putrajaya mengesahkan anaknya sudah tidak bernafas meskipun bantuan kecemasan telah diberikan oleh pihak hospital.

Pihak hospital telah membuat pengesahan bahawa anaknya meninggal dunia pada pukul 12.17 tengah hari.

Bapa bayi itu turut dimaklumkan bahawa keadaan perut anaknya, telah dipenuhi susu apabila terdapat banyak susu yang keluar melalui mulut dan hidungnya, ketika bantuan kecemasan diberikan.

Justeru, plaintif-plaintif menyatakan bahawa kematian anak mereka disebabkan tindakan pengabaian dan kecuaian dua defendan, yang memberi susu secara berlebihan, tanpa pantauan dan perhatian yang penuh.

Pasangan suami isteri ini memberitahu bahawa kematian mangsa, disebabkan pengabaian dan kecuaian dua defendan, sehingga tersedak susu yang menjurus kepada kematian mangsa dan menuntut ganti rugi lebih RM100,000 daripada kedua-dua defendan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!