Syabu campur lilin gagal kaburi polis

Iklan
Hussein (tiga dari kanan) menunjukkan bongkah lilin yang digunakan sindiket bagi sembunyikan dadah syabu untuk diedar ke Sarawak melalui laluan KLIA.

SHAH ALAM - Taktik sindiket pengedaran dadah jenis syabu dengan mencampur cairan lilin kononnya untuk melepasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dibongkar dalam serbuan pada 1 Mei lalu.

Seramai empat lelaki telah diberkas dengan rampasan syabu seberat 24 kilogram (kg) bernilai RM768,000 menerusi operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dengan kerjasama Polis Bantuan KLIA.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan pertama pada 6.45 pagi berjaya menahan seorang lelaki.

Hussein menunjukkan dua individu yang dicari polis untuk bantu siasatan kes pengedaran dadah melalui KLIA ke Sarawak.

Menurutnya, pemeriksaan pada suspek menemui 6kg syabu yang disembunyikan pada bekas tin mengandungi bongkah lilin.

Iklan

"Susulan itu, dengan dipandu arah suspek, tiga lagi lelaki berjaya diberkas dalam bilik hotel di sekitar KLIA berserta rampasan 18kg syabu juga disembunyikan dalam enam bekas tin mengandungi bongkah lilin.

Bungkusan dadah jenis syabu serta bongkah lilin yang dirampas polis susulan penahanan empat suspek di sekitar KLIA, 1 Mei lalu.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek disyaki berperanan sebagai keldai dadah selepas diupah sindiket dengan bayaran RM1,000 untuk kegiatan terbabit.

Iklan

Katanya, kesemua suspek hanya berhubung dengan sindiket melalui aplikasi sosial.

"Kesemua suspek yang memiliki rekod jenayah dan dadah dikatakan datang dari Sarawak dan semasa ditangkap, mereka sedang menunggu masa untuk penerbangan ke negeri terbabit," ujarnya.

Tambah beliau, semakan mendapati suspek masing-masing bekerja sebagai tukang cat, petani, manakala dua lagi tidak bekerja.

Tegasnya, kesemua suspek berusia 25 hingga 55 tahun direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit salah boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Dalam pada itu, sejak Januari lalu, Hussein memaklumkan, enam sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan membabitkan tangkapan 12 individu dengan rampasan syabu kira-kira 75.5kg, pil eramin 5 (14.9kg) serta ketamin (0.16kg) bernilai RM3.9 juta.

Bagi kes berlainan, Balai Polis Damansara bersama BSJN IPD Petaling Jaya berjaya menahan seorang lelaki dengan rampasan dadah jenis ganja anggaran berat 8.1kg bernilai RM25,300 di Damansara, Petaling Jaya.

"Suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran dipercayai aktif pengedaran dadah di Lembah Klang," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!