Syukur diberi peluang jejak kaki ke Tanah Suci

Iklan
Abdul Ghani Ismail (kerusi roda) dibantu petugas TH memasuki lobi Hotel Emaar Royal ketika majlis sambutan ketibaan jemaah haji KT1.

MADINAH - Jemaah haji yang selamat tiba di Madinah menerusi penerbangan pertama (KT1) hari ini melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Rata-rata jemaah haji yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada Tabung Haji (TH) atas peluang mendapat giliran menunaikan haji bagi musim 1445M/2024 kali ini.

Iklan
Iklan

Antaranya adalah Wan Draman Wan Abdullah, 68, yang berterima kasih kepada TH dan bersyukur apabila segala perjalanan untuk menunaikan haji lancar sejak permohonan dibuat sejak hampir 15 tahun lalu.

"Saya memohon untuk menunaikan haji ini sejak tahun 2009 lagi. Bermula dengan menyimpan wang sedikit demi sedikit sebaik permohonan dibuat, akhir jumlah wang berjaya dikumpul.

Iklan

"Kebetulan, saya memang berniat mahu menjual salah sebuah rumah dan ia akhirnya terjual beberapa bulan sebelum saya berangkat ke Makkah. Jadi duit tersebut dapat saya gunakan untuk menampung perbelanjaan seharian nanti,” katanya yang datang bersama isteri.

Gambar dari kiri: Wan Draman Wan Abdullah, Abdul Ghani Ismail, Ramli Md. Saad

Dia yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan itu antara 282 jemaah haji menaiki penerbangan pertama (KT1) dari Malaysia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz semalam.

Iklan

Daripada jumlah tersebut, seramai 115 jemaah terdiri daripada lelaki manakala 167 wanita itu selamat tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH8050 sebelum dibawa dengan menaiki bas ke zon penginapan.

Sementara itu, bagi Abdul Ghani Ismail, dari Alor Setar pula bersyukur dapat menunaikan haji kali ini bersama pengiring walaupun di peringkat awal pemeriksaan kesihatan tidak dibenarkan pergi.

"Alhamdulillah hari ini saya diizinkan untuk menjejak kaki ke Tanah Suci ini. Doakan saya mendapat haji yang mabrur. Layanan dari TH alhamdulillah, daripada airport sampai sini mereka layan dengan baik. Saya walaupun penat tetapi tetap seronok," katanya.

Sementara itu, bagi Ramli Md. Saad, 79, peluang menunaikan haji pada tahun ini akan digunakan sebaik mungkin, seolah-olah haji terakhir bagi dirinya.

Menurut pesara guru ini, dia menyifatkan peluang menunaikan haji tahun ini sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka.

"Ini mungkin haji terakhir bagi diri saya lebih-lebih lagi dengan umur yang semakin meningkat ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!