Penantian berakhir, pemasangan Starlink legakan Orang Asli Kerling

Iklan
Nie Ching (kanan) melihat telefon pintar milik penduduk kampung yang telah mendapat sambungan internet. Foto Bernama

HULU SELANGOR - Penantian kira-kira 260 penduduk Kampung Orang Asli Kerling di sini untuk mendapatkan perkhidmatan talian telekomunikasi berakhir, setelah kawasan itu kini mula menerima isyarat liputan daripada empat penyedia telekomunikasi utama, bermula semalam.

Ini adalah setelah Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), mengambil inisiatif menjalankan pembuktian konsep (POC) Starlink, sebagai alternatif kepada gentian optik bagi sambungan teras ke menara Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), di kampung berkenaan.

Iklan
Iklan

Tok Batin, Muhammad Taufik Abdullah, 55, yang gembira dan terharu dengan penyelesaian yang diambil kerajaan berkata penduduk termasuk hampir 100 pelajar di kawasan itu, kini dapat menikmati perkhidmatan telekomunikasi yang sempurna.

Beliau berkata, sebelum ini, kampung berkenaan tidak menerima isyarat liputan daripada syarikat telekomunikasi dan keadaan ini memaksa mereka keluar ke jalan besar, dengan jarak kira-kira 6.5 kilometer daripada kampung untuk mendapatkan akses internet.

Iklan
Kanak-kanak dan remaja Kampung Orang Asli, Kerling leka bersama telefon pintar masing-masing yang telah mendapat sambungan internet. Foto Bernama

"Terima kasih banyak-banyak kepada semua pihak yang merealisasikan impian kami untuk turut sama menikmati internet seperti orang di bandar. Saya bersama penduduk akan menjaga kemudahan ini sebaiknya,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Rudy Muhammad, 43, berkata, pemasangan satelit Starlink dan penyediaan perkhidmatan telekomunikasi di kampung itu, amat membantu mengurangkan risiko penduduk terutamanya pada waktu kecemasan.

Iklan

"Sebelum ini jika ada hal-hal kecemasan dan ada pihak yang perlu dihubungi, kita kena ke jalan besar. Bayangkan pada waktu malam dengan keadaan jalan yang gelap dan sempit, itu belum kira lagi waktu hujan. Jadi amat sukar dan menyusahkan terutama kepada golongan wanita.

"Jadi dah ada internet ini, hubungan dengan pihak luar itu jadi mudah. Kami tak perlu gadai keselamatan semata-mata untuk buat satu panggilan atau hantar mesej, dan anak-anak nak belajar pun misalnya guna YouTube sudah boleh,” katanya yang berterima kasih kepada kerajaan di atas inisiatif berkenaan.

Sementara itu, Ani Gadong, 33, pula berkata, kemudahan internet yang kini sudah mula boleh didapati di kampung itu, akan memudahkan dirinya untuk berkomunikasi dengan ibunya.

"Saya tinggal di pekan Kuala Kubu Baharu dan ibu yang berusia 60-an tinggal di sini. Kadang-kadang bila saya pulang ke rumah ibu, baru saya tahu ubat ibu habis dan ada barang-barang perlu dibeli.

"Kini semuanya mudah dan ibu boleh buat panggilan kepada saya pada bila-bila masa untuk kirim apa-apa,” katanya.

Nie Ching

Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching meninjau pengoperasian dua satelit Starlink di kampung berkenaan yang terletak kira-kira 18 kilometer daripada pekan Kuala Kubu Baharu.

Nie Ching berkata, Kampung Orang Asli Kerling, menjadi lokasi pertama di negara ini yang menjalankan POC Starlink, sebagai alternatif kepada gentian optik bagi capaian talian telekomunikasi yang lebih baik.

Penduduk kini dapat menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan utama iaitu CelcomDigi, Maxis, Redtone dan U Mobile.

Penduduk kampung, Azrul Lau, 26, (kiri) bersama Yap Wei Kian, 11, melihat telefon pintar milik mereka yang telah mendapat sambungan internet di tapak projek POC Starlink di Menara Kampung Orang Asli, Kerling pada Khamis. Foto Bernama

Sementara itu, MCMC dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan, mula menikmati kemudahan perkhidmatan telekomunikasi melalui rangkaian 4G apabila menara komunikasi siap dibina dan diaktifkan lebih awal, melalui perkongsian rangkaian dan infrastruktur (MOCN) semalam.

Menurut kenyataan itu, penduduk kini boleh membuat pilihan pakej yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan mengikut kesesuaian atau keperluan masing-masing.

Terdahulu, lawatan Nie Ching ke kampung berkenaan turut dihadiri wakil CelcomDigi, Theta Edge dan Redtone yang terlibat dalam membina dan mengaktifkan perkhidmatan di menara tersebut. - Bernama