Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar AS

Iklan
Gambar hiasan

RINGGIT mengakhiri urus niaga Khamis dengan mencatat prestasi hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), walaupun unit negara maju itu terus mengukuh berbanding mata wang serantau, kata ahli ekonomi.

Pada jam 6 petang, ringgit berada di paras 4.7395/7425 berbanding dolar AS daripada 4.7390/7440, semalam.

Iklan
Iklan

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit stabil berbanding dolar AS pada urus niaga hari ini.

Beliau berkata, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia yang mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3.0 peratus, juga menunjukkan pendirian bank pusat yang optimis terhadap prospek pertumbuhan ekonomi namun kekal berhati-hati mengenai risiko inflasi.

Iklan

"BNM juga menegaskan pendirian bahawa nilai semasa ringgit tidak mencerminkan asas-asas ekonomi dan pembaharuan ekonomi yang menjadi faktor pemacu bagi pengukuhan ringgit.

"Berikutan itu, kami menjangkakan ringgit kekal mendapat sokongan pada minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Dalam mesyuarat ketiga 2024 MPC hari ini, bank pusat itu berkata, prestasi semasa ringgit juga tidak memaparkan prospek asas-asas dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Faktor luaran iaitu peralihan jangkaan berhubung dengan haluan dasar monetari di negara atau ekonomi utama dan ketegangan geopolitik yang berterusan telah menyebabkan volatiliti yang ketara dalam aliran modal dan kadar pertukaran di seluruh rantau ini, termasuk ringgit,” katanya.

Bank pusat itu juga menyifatkan inisiatif diselaras oleh kerajaan dan BNM dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta libat urus syarikat korporat turut membuahkan hasil yang menampung tekanan tekanan ke atas ringgit.

"BNM akan terus menguruskan risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan. Pada tempoh jangka sederhana, pembaharuan struktur dalam negera akan memberi sokongan lebih berpanjangan terhadap ringgit,” katanya.

Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama.

Ini termasuk meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0401/0422 daripada 3.0495/0530 semalam, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.9177/9215 daripada 5.9209/9272 dan naik berbanding euro kepada 5.0855/0887 daripada 5.0954/1007.

Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Berbanding dolar Singapura, ringgit mengukuh kepada 3.4939/4964 daripada 3.4956/4996 semalam namun susut berbanding baht Thailand kepada 12.8303/8436 daripada 12.8188/8383, turun berbanding rupiah Indonesia pada 295.3/295.6 daripada 295.2/295.7 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.26/8.27 daripada 8.26/8.27, sebelumnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!