Kes Faisal Halim: Polis nafi tangkap suspek ketiga

Iklan
Razarudin

KUALA LUMPUR - Polis menafikan dakwaan ada tangkapan suspek ketiga membabitkan kes simbah asid terhadap tonggak pasukan bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini hanya dua orang ditangkap bagi kes terbabit.

Iklan
Iklan

"Ada juga tanya tular mengenai ada tangkapan ketiga..tiada, itu negatif. Macam kita beritahu sebelum ini, ada dua sahaja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Pameran Pertahanan dan Keselamatan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian berhubung tular di media sosial dakwaan tangkapan individu ketiga membabitkan seorang pengawal peribadi.

Iklan

Mengulas lanjut, kata Razarudin, polis menggesa pemilik akaun yang menggunakan nama Muhammad Imran Suresh untuk tampil menyalurkan maklumat.

Katanya, pihak polis mengambil serius mengenai siasatan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) juga telah turun sendiri ke lokasi kejadian (simbah asid).

Iklan

"Spekulasi ini tidak bagus kerana bila menyebut soal istana, ini benda yang tidak patut berlaku kerana motif sebenar masih belum diperolehi.

"Tetapi ada pihak membuat fitnah seolah berdasarkan siasatan dia, dapat dari mana pun kita tidak tahu. Sekiranya ada maklumat, tidak usah letak di media sosial, sepatutnya datang pada kita (polis)," ujarnya.

Dalam pada itu, Razarudin mengingatkan mana-mana pemain bola sepak tempatan yang berasa diekori, diminta segera untuk lapor kepada pihak polis.

"Siasatan kes ini masih diteruskan dan saya sudah minta Pengarah JSJ ke tempat kejadian untuk menstruktur semula dan melihat keterangan apa lagi boleh didapati," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Ahad lalu, Faisal cedera selepas disimbah asid dipercayai oleh dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Susulan itu, polis berjaya memberkas dua lelaki secara berasingan di Pandan Indah, Ampang dan Bangi pada Ahad serta Isnin lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!