ALOR SETAR – Polis Kedah berjaya melumpuhkan tujuh kumpulan sindiket penipuan dalam talian atau 'calling centre' menerusi beberapa operasi yang dijalankan sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejayaan itu membabitkan penahanan 87 individu terdiri daripada 75 lelaki dan 12 wanita.
Menurutnya, warga Pakistan mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 33 orang, diikuti Malaysia (27), China (15), India (lapan) dan Bangladesh (empat).
"Hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan menyasarkan mangsa bukan sahaja dalam negara, malah turut melibatkan beberapa negara lain termasuk Thailand, Jepun, China, Australia, India dan Bangladesh.
"Pelbagai taktik serta modus operandi digunakan sindiket dengan menyalahgunakan kemudahan komunikasi dan teknologi bagi memperdaya mangsa untuk mendapatkan keuntungan secara tidak sah," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini pada Rabu.
Jelas Adzli, antara modus operandi dikenal pasti termasuk penyalahgunaan transaksi kewangan dalam institusi perbankan, tawaran nombor ramalan tidak wujud secara dalam talian, penipuan percintaan dan tawaran kerja sambilan tidak wujud.
Menurutnya, sindiket terbabit turut melakukan penipuan telekomunikasi dengan menyamar sebagai pegawai penguat kuasa bagi memperdaya mangsa.
"Dalam operasi bersepadu yang dilakukan, polis turut merampas pelbagai peralatan dan barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM300,000.
"Antara barangan dirampas termasuk telefon bimbit, komputer, modem, router, kad ATM, kad prabayar, kad SIM, monitor, pakaian seragam agensi penguat kuasa serta pelbagai peranti komunikasi dan dokumen," ujarnya.
Adzli berkata, penemuan pelbagai peralatan berkenaan menunjukkan kegiatan penipuan atas talian itu mempunyai rangkaian luas dan beroperasi secara terancang, selain menyasarkan mangsa merentasi sempadan negara.
Jelasnya, semua individu yang ditangkap telah berjaya dituduh di mahkamah mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
"Berdasarkan trend terkini, sindiket penipuan dalam talian semakin gemar memilih premis hotel atau resort terbiar sebagai lokasi strategik untuk dijadikan pusat operasi," katanya lagi.
Tambahnya, premis berkenaan menjadi pilihan kerana menawarkan privasi, ruang luas serta lebih mudah dikawal, selain mempunyai banyak bilik yang boleh diubah suai menjadi pusat operasi dan tempat penginapan anggota sindiket.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai khususnya pemilik premis supaya segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesyaki hartanah mereka yang disewakan dijadikan pusat operasi penipuan dalam talian.