Tiga warga Pakistan kendali judi dalam talian, kaut untung lebih RM190,000

Iklan
Adzli (kanan) menunjukkan gambar operasi serbuan di sebuah premis rumah kedai di Sungai Petani yang dijadikan sebagai sebagai pusat kegiatan perjudian dalam talian.

ALOR SETAR - Tiga lelaki warga Pakistan dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM193,675 hasil kegiatan perjudian dalam talian yang dikendalikan menerusi sebuah pusat operasi atau 'calling centre' di sebuah premis rumah kedai di Sungai Petani.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 21 hingga 23 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu pada jam 12.25 tengah malam, Isnin lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil risikan mendapati sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, ketiga-tiga suspek berada di sebuah bilik di tingkat tiga premis berkenaan yang dilengkapi peralatan komputer dan telefon bimbit dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti tersebut.

Iklan

"Pemeriksaan awal oleh pegawai pakar judi mendapati terdapat paparan berkaitan promosi serta aktiviti perjudian dalam talian pada peralatan yang diperiksa.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kegiatan sindiket itu dipercayai menyasarkan pasaran perjudian di Nepal.

Iklan

Jelasnya, setiap suspek dipercayai menerima bayaran gaji sebanyak RM3,600 sebulan bagi menjalankan tugas mempromosikan dan mengendalikan aktiviti perjudian melalui platform dalam talian.

"Pemeriksaan di premis berkenaan turut menemukan unsur penggunaan bekalan elektrik menerusi sambungan tidak sah yang menjadi satu lagi kesalahan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang utama, rangkaian operasi serta individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan," ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Ketiga-tiga suspek direman bermula Isnin lalu hingga 15 November ini bagi membantu siasatan.