Kerajaan negeri tidak pinggir kawasan DUN pembangkang - Aminuddin

Iklan
Aminuddin

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan tidak meminggirkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang di negeri ini sebaliknya telah menyalurkan peruntukan melalui projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebanyak RM34.49 juta merangkumi 119 projek diluluskan di lima DUN pembangkang pada tahun lalu.

Iklan
Iklan

"DUN Bagan Pinang melibatkan 25 projek berjumlah RM5.84 juta bagi tahun 2023 dan 11 projek bernilai RM2.34 juta bagi tahun ini. Bagi DUN Gemas, terdapat 29 projek (RM6.09 juta) pada tahun lepas dan 39 projek (RM6.34 juta) bagi tahun ini.

"DUN Labu, 10 projek (RM2.01 juta) pada tahun lepas dan 11 projek (RM2.06 juta) bagi tahun ini, manakala 19 projek DUN Paroi dengan jumlah peruntukan RM12.07 juta bagi tahun lepas dan 13 projek, berjumlah RM3.22 juta bagi tahun ini," katanya ketika sesi penggulungan persidangan DUN Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Iklan

Ujarnya, DUN Serting melibatkan 36 projek (RM8.48 juta) pada tahun lepas dan 17 projek (RM2.5 juta) untuk tahun ini.

Selain itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga bersedia mengkaji kenaikan gaji ADUN serta gaji penjawat awam negeri ini.

Iklan
Jalaluddin (berdiri) ketika sesi penggulungan pada Sidang DUN Negeri Sembilan, Khamis.

Sementara itu, mengenai lawatan ke China bulan lalu, Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia merupakan jemputan syarikat F&N Holding Berhad bagi melawat ladang tenusu di Nanjing iaitu Wei Gang Dairy Farm dan Wei Gang Taichuangyuan Smart Farm.

"Lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan dan gambaran sebenar model ladang lembu tenusu bersepadu yang moden dan berteknologi tinggi yang mana ia bakal dibina di ladang Pasir Besar, Mukim Gemas.

"Secara keseluruhannya, nilai pelaburan yang dibawa oleh F&N ini adalah sebanyak RM1.7 bilion, dijangkakan setelah projek siap sepenuhnya, ladang tenusu ini mampu menempatkan sejumlah 20,000 ekor lembu tenusu yang akan menghasilkan 200 juta liter susu segar setahun untuk pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.

Mengenai isu pewartaan kampung Orang Asli di negeri ini, Jalaluddin berkata, daripada 69 kampung, sebanyak 58 kampung telah diwartakan penempatan mereka.

"Terdapat 10 kampung yang belum diwartakan antaranya Kampung Orang Asli Sungai Mahang, Lumut, Dusun Kendong, Pabai, Ulu Mampas, Ulu Pondoi dan Rangoi," katanya.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, pengeluaran udang galah di negeri ini merekodkan sebanyak 51.13 tan metrik dengan nilai lebih RM3 juta melibatkan 41 penternak udang galah berdaftar dengan Jabatan dan Daerah Kuala Pilah (Seri Menanti).

"Kuala Pilah merupakan daerah pengeluar tertinggi sumber perikanan ini.

"Dalam usaha memperkasakan industri udang galah di negeri ini, kita akan mempertingkatkan pembangunan modal insan dalam kalangan penternak melalui galakan menyertai kursus khas seperti pengurusan ternakan bagi meningkatkan ilmu," katanya.

Persidangan DUN hari ini juga turut meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan dan Pelesenan Penternakan Unggas dan Aktiviti Berkaitan Penternakan Unggas (Pindaan) 2024 serta RUU Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (Pindaan) 2024.

Persidangan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!