Pensyarah kanan UM terima anugerah Menteri Luar Jepun 2023

Iklan
Dr Jamila (dua dari kiri) bergambar bersama Takahashi (dua dari kanan) ketika majlis penganugerahan yang bertempat di kediaman Duta Besar Jepun di Malaysia, di sini pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Pensyarah kanan Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM), Dr Jamila Mohd menerima anugerah Menteri Luar Jepun 2023 yang disampaikan oleh Duta Besar Jepun di Malaysia, Takahashi Katsuhiko.

Jamila yang juga Ketua Pusat Penyelidikan Malaysia-Jepun berkata (MJRC) berkata, beliau tidak menyangka menerima anugerah berprestij itu setelah menabur bakti dalam bidang pengajian bahasa Jepun sejak 1990 lampau.

Iklan
Iklan

Menurut wanita berasal dari Pekan, Pahang berkenaan, negara Jepun amat istimewa buatnya kerana sudah 14 tahun menetap di sana bahkan mengakui sudah terbiasa berkomunikasi dengan keluarga menggunakan bahasa itu.

"Saya suka mengajar dan berkongsi nilai budaya Jepun dengan pelajar, ahli keluarga serta orang sekeliling.

Iklan

"Tanpa sokongan keluarga dan rakan seperjuangan, saya tidak akan berada di mana saya berada sekarang ini,” katanya ketika majlis yang bertempat di Kediaman Duta Besar Jepun, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM, Profesor Dr Yvonne Lim Ai Lin; Dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik, Dr Surinderpal Kaur Chanan Singh; Setiausaha Kedutaan Jepun di Malaysia, Saito Yukiyoshi dan beberapa dif kehormat serta pensyarah universiti berkenaan.

Iklan

Jamila turut memaklumkan, pihaknya berhasrat untuk mendapatkan geran penyelidikan daripada Yayasan Jepun Kuala Lumpur bagi mengadakan aktiviti seperti bengkel, seminar dan acara kebudayaan dengan kerjasama beberapa universiti dari negara terlibat.

"Saya juga amat gembira dengan pembukaan Universiti Tsukuba di Malaysia dan tidak sabar untuk berkolaborasi dari segi penyelidikan serta projek.

"Realitinya di Malaysia masih kekurangan tenaga pengajar bahasa Jepun, jadi saya ingin ambil peluang ini untuk menyumbang ilmu melalui program latihan buat guru bahasa Jepun,” ujar ibu kepada tiga anak itu lagi.

Dalam pada itu, Takahashi berkata, sumbangan besar Jamila yang konsisten mengetengahkan ilmu bahasa tersebut mampu memperkukuhkan hubungan dua hala antara Jepun dan Malaysia.

"Sejujurnya saya amat kagum dan berterima kasih kepada beliau kerana tidak pernah putus asa dengan perjuangannya.

"Saya harap sinergi baharu dalam penyelidikan MJRC akan membantu mengukuhkan jambatan persahabatan ini melalui kerjasama Institut Asia-Eropah Universiti Malaya, Persatuan Pengajian Jepun Malaysia dan Yayasan Jepun Kuala Lumpur,” ulas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!