Tapak pelupusan terbakar jejas jadual kutipan sampah

Iklan
Rakaman gambar menunjukkan kejadian kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah Sungai Ikan di Kuala Terengganu. Foto Facebook JPKK Sungai Ikan - DUN Tepoh (Gambar kecil: Rosli)

KUALA TERENGGANU - Kebakaran tapak pelupusan sampah seluas lapan hektar di Sungai Ikan, di sini menjejaskan jadual kutipan sampah di beberapa kawasan di bawah seliaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Datuk Bandar, Datuk Rosli Latif berkata, ia berikutan sampah-sampah yang terkumpul terpaksa dihantar ke tapak pelupusan sampah di Tertak Batu, Marang buat sementara waktu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan kebakaran yang berlaku sejak hampir dua minggu lalu itu dapat dihentikan daripada terus merebak ke tempat lain.

"Kita harap penduduk di beberapa kawasan yang berdepan dengan masalah kutipan sampah dapat bersabar kerana buat masa ini sampah-sampah dari Kuala Terengganu akan dihantar ke tapak pelupusan di daerah Marang dan operasi di tapak pelupusan sampah Sungai Ikan ditutup.

Iklan

"Keadaan ini menyebabkan kutipan sampah di beberapa kawasan di sini sedikit terjejas disebabkan faktor jarak yang jauh dan lori-lori sampah ini perlu menunggu giliran," katanya ketika ditemui ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri kakitangan MBKT, baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah.

Iklan

Dalam pada itu, Rosli memberitahu, kawasan tapak pelupusan sampah Sungai Ikan sudah hampir penuh dan tidak mampu untuk menampung kapasiti sampah-sampah baharu.

Katanya, ketika ini pengurusan sampah MBKT meliputi lima daerah iaitu Kuala Terengganu dan Kuala Nerus serta sebahagian kawasan di Marang, Hulu Terengganu dan Setiu.

"Secara purata, jumlah kutipan sampah domestik yang direkodkan setiap hari di daerah Kuala Terengganu sebanyak 350 metrik tan sehari.

"Kawasan pelupusan sampah kita juga sebenarnya sudah hampir penuh. Jadi, kita ada membuat beberapa perancangan lain bagi memastikan pengurusan sampah ini berjalan lancar," ujarnya.

Kebakaran pusat pelupusan sampah tersebut disedari berlaku kira-kira jam 2 petang, pada 26 April lalu.

Siasatan awal mendapati kebakaran di lokasi itu berpunca daripada faktor semula jadi di mana sisa sampah berkenaan terdedah kepada haba tinggi akibat cuaca panas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!