Pegawai Perbendaharaan AS ke Malaysia: Kerajaan akan nyatakan pendirian

Iklan
Saifuddin Nasution. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia akan menyatakan pendirian terhadap isu yang dijangka dibawakan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bagi keganasan dan risikan kewangan, Brian Nelson dalam pertemuan pada Khamis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan wakil AS untuk mendengarkan isu yang dibangkitkan.

Iklan
Iklan

"Kita akan menyatakan penjelasan dan pendirian Malaysia berhubung isu tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kementerian Dalam Negeri dan wakil industri dalam pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini, pada Rabu.

Iklan

Terdahulu, sebuah agensi berita antarabangsa melaporkan bahawa pegawai tertinggi sekatan Jabatan Perbendaharaan AS akan ke Singapura dan Malaysia dalam usaha menyekat saluran dana kepada Iran dan proksinya selain pengelakan sekatan terhadap Rusia.

Berdasarkan laporan tersebut, terdapat peningkatan dalam wang yang dipindahkan ke Iran dan proksinya, termasuk Hamas, melalui sistem kewangan di Malaysia.

Iklan

Justeru, Nelson dijangka membincangkan kebimbangan AS dan risiko sekatan yang ditimbulkan oleh aktiviti sedemikian ketika pertemuannya dengan Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, Polis Diraja Malaysia dijangka akan menggunakan kamera badan dalam operasi harian pada Jun ini.

Katanya, beliau telah meminta pelaksanaannya disegerakan dan tidak melewati sehingga ke tahun hadapan.

"Bajet sudah lama tersedia namun proses perolehan telah berubah-ubah beberapa kali," katanya.

Saifuddin berkata, beliau minta untuk diselesaikan segera dan jangkaannya mengikut garis masa yang telah ditetapkan.

"Penghantaran pertama harus berlaku dalam bulan Jun tahun ini juga,” katanya.

Pada 21 Februari, Saifuddin dilaporkan berkata sebanyak 7,648 kamera badan yang akan dipasang pada anggota polis yang dianggarkan bernilai antara RM2,000 dan RM2,500 setiap satu.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri telah menandatangani 14 kontrak bersama syarikat tempatan dengan nilai keseluruhan kontrak berjumlah lebih RM2.15 billion.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!