[VIDEO] Rogol anak hingga lahirkan bayi, bapa durjana dipenjara 20 tahun

Iklan

SEREMBAN - Perbuatan terkutuk seorang bapa merogol anak kandungnya sejak usia mangsa 12 tahun sehingga melahirkan anak akhirnya terhukum apabila Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara dan lima sebatan pada Rabu.

Hakim, Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman terbabit terhadap tertuduh yang berusia 44 tahun selepas menerima pengakuan bersalahnya atas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira pertimbangan rayuan dibuat tertuduh serta faktor pemberatan dihujahkan Timbalan Pendakwa Raya.

"Kamu sebagai bapa yang diamanahkan untuk menjaga anak tapi telah lakukan sebaliknya dan saya ambil maklum faktor mangsa hanya buat aduan selepas ibu bapanya ditahan atas kes lain.

Iklan

"Semestinya mangsa berasa tidak selamat berada di rumah sendiri sepanjang tempoh tersebut dan saya percaya ia akan menyebabkan trauma dan meninggalkan kesan psikologi teruk kepada mangsa serta reputasi mangsa juga akan terjejas dengan perbuatan tertuduh," katanya.

Kedua-dua tertuduh diiring polis ketika hadir ke mahkamah.

Tambahnya, hukuman yang dijatuhkan juga perlulah setimpal dengan kesalahan dilakukan selain untuk pengajaran bukan saja kepada tertuduh tetapi juga masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan anaknya yang ketika kejadian berusia 18 tahun enam bulan yang mana perhubungan tertuduh dengannya tidak dibenarkan di bawah undang-undang dan hukum yang terpakai untuk berkahwin dengannya.

Kesalahan itu dilakukan pada November 2022 jam lebih kurang 6 pagi di sebuah rumah di Port Dickson.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan(Akta 574)

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya dikurangkan kerana mempunyai anak-anak yang masih kecil manakala isterinya menghidap kencing manis dan sakit jantung.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, M Kalaivaanan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.

"Tertuduh adalah ayah kepada mangsa telah melakukan persetubuhan dengan merogol anaknya sehingga melahirkan anak.

"Saya menghujahkan hubungan khas pesalah dengan mangsa mewajibkan mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat dari segi pemenjaraan dan hukuman sebat untuk menghantar mesej jelas kepada masyarakat bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan seperti ini," katanya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah membuat laporan polis pada 1 Mei lalu memaklumkan dirinya dirogol bapa kandungnya sejak berusia 12 tahun hingga 21 April 2024.

Pada Disember 2022, mangsa mengesyaki dirinya telah mengandung selepas tidak datang haid dan telah melahirkan anak di Hospital Port Dickson pada 17 Ogos 2023.

Ibu mangsa telah menyerahkan anak dilahirkan kepada orang lain tanpa pengetahuannya.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan tertuduh dan isteri berusia 45 tahun didakwa ada dalam milikan mereka dadah berbahaya disyaki jenis pil yaba (anggaran berat 32.83 gram).

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam lebih kurang 2.30 pagi 28 April lalu di sebuah rumah di Port Dickson.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan

Bagaimanapun hanya tertuduh lelaki yang mengaku bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz tidak mencadangkan jaminan dan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menetapkan sebutan semula kes pada 4 Julai depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!