Turkiye jemput Malaysia jadi rakan kongsi program jet pejuang KAAN

Iklan
Celal Sami - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Pertahanan Turkiye, Dr Celal Sami Tüfekçi menjemput Malaysia untuk menjadi rakan kongsi dalam projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelimanya, KAAN, yang melakukan penerbangan sulungnya Februari lepas.

Menekankan faedah bersama daripada kolaborasi itu, Tüfekçi berkata, Malaysia akan meraih manfaat bukan sahaja dari segi memperkukuhkan keupayaan ketenteraan tetapi juga dalam memperoleh teknologi termoden jet pejuang.

Iklan
Iklan

"Saya berpendapat menjadi rakan kongsi dalam program KAAN bagus untuk Malaysia.

"Pesawat KAAN ialah pesawat pejuang siluman generasi kelima dan suatu program yang besar.

Iklan

"Kami gembira jika Malaysia memutuskan untuk menjadi rakan kongsi," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2024 di sini.

Beliau berkata, jet pejuang itu telah berjaya melakukan penerbangan keduanya Isnin lepas (6 Mei) dan Turkish Aerospace Industries Inc (Turkish Aerospace) akan terus menambah baik jentera tersebut.

Iklan

KAAN, jet pejuang buatan Turkiye, menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha negara itu memperkasakan ketenteraan udaranya dan mengekang pergantungan luar.

KAAN berlepas awal pagi Isnin dan berada di ruang udara untuk 14 minit seperti dijadulkan, mencecah altitud 10,000 kaki dan kelajuan 230 knot.

Tüfekçi berkata, mereka bentuk dan mengeluarkan sebuah pesawat bukanlah tugas mudah dan memerlukan banyak pengalaman dan Turkiye menerokai lebih banyak peluang dalam sektor aeroangkasa.

"Kini kami mempunyai Turkish Aerospace yang beroperasi di Cyberjaya dengan 120 jurutera tempatan.

"Dengan melibatkan diri dalam mereka bentuk pesawat, mereka akan meraih kemahiran berharga dan membantu membangunkan industri.

"Ini boleh membawa kepada penubuhan syarikat-syarikat baharu dan merangsang sektor pertahanan Malaysia," katanya.

Beliau berkata, projek Littoral Mission Ship (LMS) Turkiye juga telah dibincangkan dengan Malaysia dan menghampiri peringkat pemeteraian kontrak.

"Turkiye juga mempunyai segmen maritim yang kukuh dan kami sedang berunding untuk membekalkan LMS kepada Malaysia. Kami juga mempunyai syarikat milik kerajaan lain dan banyak limbungan kapal swasta...sebahagiannya mengambil bahagian dalam DSA," katanya.

Berhubung pemindahan teknologi antara kedua-dua negara itu, Tüfekçi berkata, terdapat perbincangan, terutamanya mengenai teknologi helikopter.

"Jika Malaysia memulakan program helikopter dengan Turkiye, syarikat Gokturk Utility Helicopter kami boleh dibangunkan di sini dan beberapa bahagian boleh dipasang di sini oleh industri pertahanan Malaysia.

"Selain itu, satu daripada syarikat kami, Aselsan, dalam proses membuka cawangan di sini," katanya.

Beliau berkata, Turkiye turut menyasarkan untuk memainkan peranan penting dalam membekalkan aset ketenteraan di wilayah Asia Pasifik dengan Malaysia sebagai hab, di samping menekankan kepentingan kolaborasi antara kedua-dua negara dalam menghasilkan dan mengeluarkan produk ketenteraan di wilayah tersebut.

"Wilayah Asia Pasifik sangat penting bagi kami dan kami yakin Malaysia boleh menjadi hab kami di wilayah ini.

"Turkiye telah mengambil masa 40 tahun untuk membangunkan industri pertahanannya dan untuk 20 tahun lepas industri itu pesat membangun.

"Kami bermula dengan menjalin usaha sama dengan syarikat-syarikat Barat dan menjadi platform pengeluaran mereka," katanya.

Beliau menambah, Turkiye menyedari keperluan untuk membangunkan pesawat, helikopter dan sistem persenjataan sendiri agar keupayaan ketenteraan mereka dapat terus berkembang. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!