Kejadian pokok tumbang potensi berulang

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail pada Selasa.

PENGURUSAN dan penjagaan pokok seringkali diabaikan oleh sesetengah pihak, antaranya tumbuhan berusia tidak ditebang serta diselenggarakan dengan baik menjadi salah satu punca insiden pokok tumbang.

Ditambah faktor cuaca yang tidak menentu dengan hujan lebat dan ribut kencang kerap berlaku sejak kebelakangan ini akan meningkatkan lagi risiko tersebut.

Iklan
Iklan

Pengabaian itu meresahkan masyarakat kerana kejadian pokok tumbang bukan hanya menyebabkan kerosakan harta benda rosak, malah mencederakan orang ramai dan lebih tragis apabila ada mangsa yang terkorban.

Pada Selasa, tular satu video memaparkan kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail dan menghempap beberapa kereta yang melalui kawasan tersebut.

Iklan

Kejadian itu menyebabkan seorang maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan. Insiden itu juga turut menjejaskan 17 kenderaan dan landasan monorel.

Menurut Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur, M Fatta M Amin, fasiliti awam iaitu perhentian bas di tepi jalan turut mengalami kerosakan susulan kejadian tersebut.

Iklan

Tambahnya, seramai 27 anggota dikejarkan ke lokasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, Titiwangsa, Jalan Tun Razak dan Sentul.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pokok tumbang itu merupakan pokok lama berusia lebih 50 tahun yang berada di bawah pemantauan pihak swasta.

"Kita juga telah mengenal pasti banyak pokok berusia sekitar 50 sehingga 80 tahun di ibu negara yang mana pokok-pokok ini hanya menunggu masa untuk tumbang lebih-lebih lagi keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.

Insiden ini bukan perkara baharu malah jika dibiarkan tanpa penyelenggaraan, esok atau lusa tidak mustahil kejadian pokok tumbang berpotensi akan berulang, walaupun bukan di kawasan sama tapi mungkin di tempat lain.

Oleh itu, pihak berkenaan perlu mengambil pengajaran dan iktibar daripada kejadian yang berlaku di Jalan Sultan Ismail bagi memastikan orang lain tidak menjadi mangsa.

Biarlah kejadian ini menjadi yang terakhir disebabkan pokok sudah berusia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!