SHAH ALAM – Laporan awal berkaitan isu pengurusan dan tatakelola Felda akan mula didedahkan kepada umum, minggu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendedahan itu penting bagi menjelaskan persoalan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan kerugian yang ditanggung agensi berkenaan.
"Minggu depan, mula laporan awal tentang Felda. Kata ini dendam, dendam apa? Salah guna kuasa apa?
"Apa saya boleh bercakap dengan pendakwa, beri pandangan kepada hakim? Tidak ada. Tanya Ketua Hakim. Ketua Hakim penuh kebebasan dan wibawa untuk putuskan," katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis pada Ahad.
Sebelum ini, Anwar dilapor berkata, laporan tersebut akan diterbitkan sebaik sahaja proses penyediaannya selesai dan berharap orang ramai dapat menelitinya sebagaimana Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurutnya, pendedahan laporan itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Perpaduan untuk memperbetulkan kelemahan dan kesilapan pentadbiran yang berlaku sebelum ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan terpaksa memperuntukkan kira-kira RM980 juta setiap tahun bagi menampung bayaran berkaitan hutang Felda akibat kerugian yang dialami sebelum ini.
Beliau berkata, kerajaan mengambil tanggungjawab berkenaan bagi memastikan beban tersebut tidak ditanggung peneroka.
"Baru-baru ini saya jumpa pengurus Felda, rumah mereka teruk, puluh tahun tidak dibaiki.
"Maka saya terpaksa luluskan RM450 juta untuk baiki semua rumah pengurus Felda seluruh negara," katanya.