SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap banduan mempunyai hak untuk memohon pengampunan, namun keputusan mengenainya bukan terletak pada kerajaan.
Beliau berkata, perkara itu perlu dilihat berdasarkan prinsip Perlembagaan, termasuk dalam isu berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini diberikan pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan.
Menurutnya, beliau tetap menghormati hak berkenaan, namun pada masa sama perlu mengambil kira kes-kes Najib yang masih berjalan di mahkamah.
"Saya tetap pertahankan hak. Siapa pun, termasuk Datuk Seri Najib, ada hak untuk memohon pengampunan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan.
"Lembaga Pengampunan harus menilai, kalau di peringkat kerajaan Persekutuan, ada nasihat daripada Perdana Menteri, ada nasihat daripada Peguam Negara dan sebaiknya dengar nasihat itu.
"Tetapi untuk keputusan itu, bolehkah kita lakukan? Apakah nasihat saya itu ke arah keputusan? Tidak," katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan perlu terus berpegang kepada prinsip Perlembagaan dalam menangani isu berkenaan, termasuk memastikan proses perundangan tidak dicampur tangan.
Malah ujarnya, kes-kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes lain yang masih berjalan di mahkamah tidak seharusnya dihalang.
"Kes 1MDB masih berterusan. Kes sivil masih terus. Ia tidak menghalang.
"Nasihat yang saya berikan kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi saya juga Perdana Menteri yang harus tunduk kepada prinsip Perlembagaan (yang) meletakkan kaedahnya begitu," ujarnya,
Beliau pada masa sama menegaskan, pendirian kerajaan untuk terus memerangi rasuah dan memastikan prinsip keadilan serta integriti dipertahankan tanpa mengira siapa yang terlibat.
"Minggu depan, mula laporan awal tentang Felda. Kata ini dendam, dendam apa? Salah guna kuasa apa? Apa saya boleh bercakap dengan pendakwa, beri pandangan kepada hakim? Tidak ada. Tanya ketua hakim.
"Ketua hakim penuh kebebasan dan wibawa untuk putuskan," katanya.