Makmal VAMR 3D sasar 1,600 pekerja teknikal berkemahiran tinggi

Iklan
Tengku Zafrul. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Makmal Visualisation and Virtual Augmented Mixed Reality (VAMR) 3D menyasar untuk melengkapkan 1,600 pekerja teknikal berkemahiran tinggi bagi menyokong industri dalam tempoh dua tahun, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, makmal itu adalah pemboleh penting dalam merapatkan jurang di antara menyelesaikan masalah kejuruteraan yang sukar dengan mendigitalkan usaha reka bentuk aeroangkasa.

Iklan
Iklan

"Sasaran itu menunjukkan komitmen kami untuk terus menerajui persaingan dengan menerima pakai amalan reka bentuk termaju. Usaha itu juga merupakan jambatan bernilai di antara objektif dasar aeroangkasa Malaysia dengan realitinya,” katanya ketika berucap menyempurnakan prapelancaran makmal itu, di luar pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 di sini, pada Selasa.

Makmal VAMR 3D ialah inisiatif yang diketuai oleh Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia (NAICO Malaysia), di bawah Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Malaysia (MyAERO).

Iklan

Tengku Zafrul berkata, Makmal VAMR 3D akan membantu negara kekal mendahului persaingan melalui penerimagunaan amalan reka bentuk termaju di peringkat global.

"Penggunaan AR dan VR telah bertujuan menambah baik pelbagai aliran kerja termasuk penyelidikan dan operasi serta akan memberi manfaat kepada pelbagai pihak berkepentingan dalam industri aeroangkasa kami dalam pelbagai cara,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, AR telah menjadi teknologi penting dalam industri aeroangkasa, yang telah digunakan dalam pengajaran kejuruteraan, pembuatan satelit, latihan juruterbang dan bantuan penyelenggaraan jarak jauh.

Teknologi VR telah digunakan oleh banyak syarikat dan institusi penyelidikan untuk reka bentuk dek penerbangan, pengesahan kebolehcapaian dan perancangan pemasangan, katanya.

"Makmal VAMR 3D yang dilancarkan hari ini bukan sekadar satu kemudahan malah sebagai mercu tanda inovasi yang mengorak laluan ke arah kemajuan dalam teknologi aeroangkasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia, Prof Shamsul Kamar berkata teknologi pengvisualan 3D berperanan penting dalam memastikan industri aeroangkasa Malaysia kekal berdaya saing dalam rantaian nilai global.

"Ketika industri bergerak ke arah proses pembuatan yang lebih automatik dan pintar, teknologi pengvisualan 3D memudahkan penyepaduan kaedah baharu ini, meningkatkan kecekapan dan produktiviti keseluruhan serta memudahkan proses reka bentuk yang kompleks.

"Keupayaan untuk menyesuaikan dan melaksanakan teknologi ini dengan pantas akan menjadi kunci untuk menarik pelaburan asing dan menjamin kedudukan Malaysia sebagai peserta utama dalam sektor aeroangkasa global,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!