Helah kahwini wanita tempatan

Iklan
Antara warga asing yang diperiksa oleh pihak berkuasa di premis perniagaan di Kuala Lumpur. Gambar hiasan

KES lambakan wanita tempatan menjadi 'mangsa' kepentingan peribadi warga asing yang berkahwin dengan mereka semata-mata untuk mendapatkan lesen perniagaan dikhuatiri semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.

Lebih menyedihkan apabila terdapat wanita tempatan terdiri daripada warga emas yang menjadi sasaran mudah warga asing untuk memenuhi kepentingan diri mereka sendiri terutama untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu mengesan terdapat lelaki warga asing yang mengahwini wanita warga emas tempatan semata-mata untuk memudahkan mereka mendapatkan lesen perniagaan.

Pengarah JIM Negeri Terengganu, Azhar Abd Hamid memaklumkan selepas hasrat mereka tercapai, terdapat kes wanita berkenaan kemudian diabaikan malah ada yang hidup berasingan dengan hanya diberikan wang saku sekitar RM300 sebulan.

Azhar berkata, kebanyakan wanita yang enggan membubarkan perkahwinan atas alasan tiada siapa yang akan menanggung mereka sekiranya berpisah dengan suami warga asing.

Iklan

Perkara ini sudah tentu menimbulkan kerisauan apabila ia dibiarkan berleluasa kerana ia memberi kesan kepada pertambahan masalah penceraian serta penderaan dari segi fizikal dan mental dalam perkahwinan.

Golongan wanita juga seharusnya mempunyai kesedaran untuk tidak mudah berkahwin tanpa menyelidik latar belakang pasangan supaya tidak diperalatkan demi kepentingan peribadi.

Iklan

Selain isu berkahwin dengan warga tempatan untuk dapatkan lesen berniaga, masalah ini juga disebabkan sikap warga tempatan menyewakan lesen mereka kepada warga asing.

Perbuatan ali baba itu merupakan punca lambakan peniaga warga asing terus menguasai perniagaan di negara ini.

Malah ada warga asing hanya mengaku sebagai pekerja dan bukannya pemilik kedai sekiranya serbuan dilakukan pihak berkuasa.

Rakyat tempatan seharusnya mempunyai kesedaran untuk tidak mengejar keuntungan semata-mata sehingga sanggup menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing.

Ada pihak tidak bertanggungjawab yang menyewakan lesen atau tapak niaga kepada warga asing dengan bayaran yang tinggi dengan memberi alasan lebih menjana keuntungan memberi sewa lesen kepada warga asing berbanding menjalankan perniagaan itu sendiri.

Justeru, PBT perlu sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan bagi mengekang masalah perniagaan secara haram oleh warga asing.

Tindakan tegas perlu diambil kepada rakyat tempatan yang menyalahgunakan lesen dengan menyewakan premis perniagaan mereka kepada warga asing termasuk menarik semula tapak serta membatalkan lesen perniagaan.

Mereka yang didapati menyalahgunakan lesen perlu disenarai hitam daripada mendapat lesen perniagaan pada masa akan datang sebagai amaran kepada peniaga-peniaga lain supaya tidak melanggar peraturan ditetapkan.

Selain itu, masyarakat juga seharusnya menjadi 'mata dan telinga' dengan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan melibatkan perniagaan yang dikendalikan warga asing yang berselindung di sebalik lesen perniagaan yang disewa daripada pemilik tempatan.

Pengguna juga perlu untuk memberi sokongan kepada peniaga tempatan dengan memilih premis yang dikendalikan warga tempatan dan bukannya premis perniagaan warga asing.

Dengan cara itu kita dapat menunjukkan kuasa beli rakyat tempatan mampu membela peniaga-peniaga kecil tempatan daripada terus mengalami kerugian kerana terpaksa bersaing dengan perniagaan milik warga asing di bumi kita sendiri.

* Nurfardlina Izzati Moktar ialah wartawan Sinar Harian Terengganu

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!