Kasino di Forest City: Polis digesa ambil pendekatan berhemah

Iklan
Johan Jaaffar

SHAH ALAM - Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar menggesa pihak polis untuk mengambil pendekatan berhemah, penuh waspada dan pemahaman dalam mengendalikan kes membabitkan seorang wartawan Bloomberg, Ram Anand.

Johan berkata, beliau memahami sensitiviti kes dan kontroversi daripada laporan berita tentang cadangan mewujudkan kasino di Forest City, Johor Bahru.

Iklan
Iklan

"Ram Anand bertanggungjawab sepenuhnya ke atas laporan berita tentang cadangan mewujudkan kasino di Forest City dan akauntabiliti terletak pada beliau.

"Beliau tertakluk pada etika kewartawanan bagi memastikan keadilan dan kejujuran dalam mendapatkan maklumat, melapor dan menulis berita itu.

Iklan

"Lebih penting lagi, beliau harus mengambil tanggungjawab penuh ketepatan penulisan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui pengasas Berjaya Corp, Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City, Johor.

Iklan

Susulan dakwaan itu, pihak polis telah memanggil Ram ke Bukit Aman untuk merakam keterangan beliau dan pada hari Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan bahawa kes tersebut akan disiasat atas hasutan, jenayah fitnah dan kesalahan membabitkan talian.

Mengulas lanjut, Johan berkata, beliau percaya bahawa kebebasan media adalah penting dan ia menjadi tonggak kepada demokrasi yang sihat.

Menurutnya, media memainkan peranan penting untuk tujuan semak dan imbang selain menjadi penyuluh kebenaran.

"Amat malang sekali bahawa Indeks Kebebasan Media Global yang terbaharu menunjukan kedudukan kita (Malaysia) menjunam dari 73 kepada 107 tahun ini.

"Ini sepatutnya menjadi peringatan yang mengejutkan bagi pengamal media dan kerajaan,” ujar beliau.

Justeru, Johan menegaskan agar kerajaan tidak menggunakan institusi negara dan undang-undang lapuk untuk menyekat kebebasan media di negara ini.

"Saya betul-betul berharap bahawa kebebasan media difahami sepenuhnya oleh semua pihak dan pengamal media dibenarkan untuk membuat laporan tanpa takut dan memihak.

"Media punya hak dan tanggungjawab moral untuk mempersoalkan tindakan mana-mana tokoh umum.

"Bagaimanapun, ada ruang untuk mana-mana pihak menanyakan tanggungjawab organisasi media dalam laporannya tetapi bukan melalui ugutan dan tindak balas,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!