Agong zahir ucapan terima kasih kepada PM Singapura

Iklan
Sultan Ibrahim berkenan mengadakan pertemuan dengan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di The Istana di Singapura hari ini. Foto Bernama

SINGAPURA - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, yang bakal berundur, kerana menjadi rakan karib Johor dan Malaysia.

Sultan Ibrahim bertitah, sikap dedikasi serta pandangan jauh Hsien Loong telah menyaksikan Malaysia dan Singapura menjalin hubungan kerjasama yang erat ke arah membina masa depan lebih baik.

Iklan
Iklan

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pengganti Hsien Loong iaitu Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri baharu pada 15 Mei ini.

"Beta amat yakin kepimpinan beliau akan terus memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara kita," titah Sultan Ibrahim pada Jamuan Negara yang berlangsung di kediaman rasmi Presiden Singapura iaitu The Istana malam ini.

Iklan

Jamuan itu, yang dihoskan oleh Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam, adalah sempena Lawatan Negara dua hari Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah ke republik berkenaan.

Mengimbau kembali hubungan kedua-dua negara, Sultan Ibrahim bertitah, Malaysia dan Singapura memiliki hubungan istimewa yang diikat oleh sejarah serta budaya serupa selain hubungan ekonomi yang rapat.

Iklan

"Antara elemen teras hubungan kita ialah Johor dan Singapura telah menikmati hubungan yang begitu baik sejak beberapa dekad," titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim turut berkenan memberi penghormatan kepada pengasas Singapura iaitu mendiang Lee Kuan Yew kerana menjadi ketua arkitek republik itu dan berkongsi kisah hubungan rapat baginda dengan keluarga Hsien Loong.

"Beliau telah meletakkan asas kukuh yang penting untuk republik ini.

"Beliau telah membimbing ramai orang dan suka bersyarah.

"Beta sendiri tidak terlepas daripada mendengar syarahan beliau.

"Beliau memberi syarahan mengenai pelbagai topik kepada beta dan banyak yang beta telah belajar daripada beliau," titah Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda bertitah, Perdana Menteri pertama Singapura itu, antara lain, berkongsi keperluan untuk kekal konsisten dalam sesuatu dasar kerana ia akan menarik pelabur jangka panjang yang penting kepada pertumbuhan ekonomi.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dan Presiden Singapura melancarkan rekaan setem keluaran bersama Pos Malaysia dan SingPost bagi memulakan sambutan ulang tahun ke-100 Tambak Johor tahun ini.

Kedua-dua pemimpin turut melihat pameran foto mengenai sejarah dan peristiwa penting Tambak Johor.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah tiba di Singapura hari ini untuk lawatan negara dua hari ke republik itu.

Lawatan itu, yang pertama sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta persekutuan pada 31 Jan lepas, adalah atas jemputan Presiden Singapura. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!