Pemandu bas halau penumpang: APAD arah siasatan lanjut dijalankan

Iklan
Laporan Sinar Harian.

KUALA LUMPUR - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengarahkan syarikat bas yang terbabit dalam isu pemandunya bertindak kasar terhadap seorang penumpang, untuk menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan insiden serupa tidak berulang.

Memandang serius insiden berkenaan, APAD dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan bahawa syarikat itu telah menggantung tugas pemandu bas terlibat.

Iklan
Iklan

"APAD sekali lagi ingin menegaskan pendirian untuk tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pengusaha dan pemandu perkhidmatan pengangkutan awam darat yang berupaya menjejaskan kepercayaan orang awam terhadap perkhidmatan pengangkutan awam darat,” menurut kenyataan itu.

APAD mengeluarkan kenyataan itu susulan insiden seorang pemandu bas perkhidmatan awam yang bertindak kasar terhadap seorang penumpang di Johor Bahru, Johor.

Iklan

Dalam rakaman video berdurasi 50 saat yang tular menerusi media sosial baru-baru ini memaparkan pemandu bas henti-henti itu telah memarahi dan bertindak kasar terhadap seorang penumpang wanita sebelum menghalau keluar penumpang terbabit.

APAD memaklumkan pihaknya ingin mengingatkan mana-mana syarikat untuk memantau prestasi pemandu kenderaan masing-masing dalam memastikan keselamatan terhadap pengguna jalan raya yang lain.

Iklan

Selain itu, peringatan tegas juga diberikan kepada semua pengusaha dan pemandu perkhidmatan agar sentiasa mengamalkan etika kerja yang profesional dan berhemah.

"Sebarang ketidakpatuhan perkhidmatan akan dikenakan tindakan berdasarkan peraturan yang dikuatkuasakan. Orang ramai juga dinasihatkan untuk bertenang dan tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai.

"Sebarang aduan tentang perkhidmatan pengangkutan awam boleh disalurkan melalui saluran aduan rasmi yang disediakan oleh syarikat mahupun pihak kerajaan,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!