Mayat lelaki Indonesia dikhuatiri lemas ditemukan selepas dua hari

Iklan
Mayat mangsa ditemui berhampiran jeti nelayan Kampung Hailam pada Khamis. Foto: JBPM Melaka

TANGGA BATU - Mayat seorang lelaki warga Indonesia yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari sebuah bot tunda di perairan Tanjung Beruas, Tanjung Kling, di sini ditemukan nelayan pada Khamis selepas dua hari operasi pencarian dijalankan.

Mangsa dipercayai pekerja bot berkenaan yang berusia 38 tahun ditemukan sekitar jam 10.40 pagi berhampiran jeti nelayan Kampung Hailam.

Iklan
Iklan

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, mangsa sebelum itu dilaporkan terjatuh dari bot tunda ketika dalam perjalanan dari Indonesia menuju ke Jeti Tanjung Beruas pada Selasa.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.48 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Iklan

"Operasi pencarian melibatkan 19 anggota bomba dari BBP Tangga Batu, Melaka Tengah dan Masjid Tanah dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Pencarian dijalankan di sepanjang pesisir pantai Klebang dan kawasan perairan sejauh 1.5 batu nautika dari Pulau Upeh menggunakan teknik water surface search serta bantuan unit dron bomba," katanya.

Iklan

Beliau berkata, operasi pencarian disambung pada Khamis dengan anggota bomba menggunakan bot bagi melakukan pencarian di sekitar perairan Pulau Upeh.

Katanya, mangsa ditemukan nelayan sebelum pihak bomba bergerak dari Jeti Sungai Lereh menggunakan bot untuk mengambil mayat melalui laluan laut.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.