Bursa Malaysia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 52 minggu

Iklan
Gambar hiasan

BURSA Malaysia meneruskan kenaikan minggu lepas untuk ditutup tinggi bagi hari ketiga dagangan berturut-turut hari ini dengan indeks utama mencecah paras tertinggi dalam tempoh 52 minggu di tengah-tengah prestasi positif pasaran serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 0.49 peratus atau 7.80 mata kepada 1,597.39 berbanding paras penutup 1,589.59 pada Jumaat minggu lepas.

Iklan
Iklan

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 2.21 mata kepada 1,591.80, diniagakan antara paras 1,591.17 dan paras puncak 1,598.26 semasa sesi tengah hari.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 657 berbanding 447 manakala 499 kaunter tidak berubah, 712 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Iklan

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.48 bilion unit bernilai RM3.12 bilion daripada 3.87 bilion unit bernilai RM3.15 bilion pada minggu lepas.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan aktiviti belian akan berterusan memandangkan peningkatan sentimen pelabur disokong oleh aliran masuk dana asing yang kukuh ke rantau ini.

Iklan

"Peningkatan jumlah dagangan harian menandakan minat tinggi terhadap pasaran dan indeks petunjuk pasaran menuju ke arah paras psikologi 1,600. Jika indeks itu berjaya melepasi paras rintangan ini dan bertahan bagi tempoh yang lama, terdapat potensi untuk terus meningkat,” katanya kepada Bernama.

Senada dengan sentimen ini, pengurus portfolio dan ketua penyelidikan dan penasihat harta UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan, juga menjangkakan indeks utama terus berada dalam trajektori meningkat, berpotensi melepasi paras halangan psikologi 1,600.

"KLCI masih belum lagi mencecah paras terlebih beli, menunjukkan aktiviti rancak pasaran belum lagi sampai ke tahap kemuncak dan masih ada ruang untuk terus meningkat,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM9.83, Public Bank melonjak lapan sen kepada RM4.20, Tenaga Nasional menokok enam sen kepada RM12.38, CIMB menambah 10 sen kepada RM6.75 dan IHH Healthcare meningkat satu sen kepada RM6.30.

Dalam kalangan saham cergas, SNS naik 7.5 sen kepada 47 sen, Ingenieur turun setengah sen kepada 11 sen dan Fintech tidak berubah pada 0.5 sen. Eversendai meningkat tujuh sen kepada 46 sen dan Dagang Nexchange naik 1.5 sen kepada 41.5 sen.

Sementara itu, Priceworth International Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia bercadang menukar namanya kepada Maxland Bhd, sementara menunggu kelulusan pemegang sahamnya menjelang mesyuarat agung luar biasa pada 28 Mei, 2024.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 64.16 mata kepada 12,034.27, Indeks FBMT 100 naik 59.86 mata kepada 11,656.98 dan Indeks FBM 70 menokok 98.63 mata kepada 16,835.65.

Indeks FBM Emas Shariah naik 36.62 mata kepada 12,229.92 dan Indeks FBM ACE meningkat 6.36 mata kepada 5,140.91.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 133.20 mata kepada 17,423.61 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.10 mata kepada 191.94. Indeks Tenaga susut 4.14 mata kepada 962.71 manakala Indeks Perladangan turun 26.73 mata kepada 7,393.14.

Jumlah dagangan Papan Utama meningkat kepada 2.54 bilion unit bernilai RM2.63 bilion daripada 2.38 bilion unit bernilai RM2.79 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.00 bilion unit bernilai RM164.47 juta berbanding 929.71 juta unit bernilai RM148.76 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 933.26 juta saham bernilai RM324.44 juta daripada 560.13 juta saham bernilai RM210.14 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 531.50 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (486.18 juta), pembinaan (337.27 juta), teknologi (349.03 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (94.46 juta), hartanah (264.67 juta), perladangan (31.02 juta), REITs (21.90 juta), dana tertutup (84,100), tenaga (150.88 juta), penjagaan kesihatan (85.67 juta), telekomunikasi dan media (47.40 juta), pengangkutan dan logistik (62.43 juta), utiliti (77.96 juta) dan amanah perniagaan (166,200). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!