KIC tawar 12,000 peluang pekerjaan, nilai pembangunan RM700 juta

Iklan
Saarani (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanah bagi Pembangunan KIC pada Khamis. Foto Pejabat Menteri Besar Perak

PARIT BUNTAR - Pembangunan Kerian Industrial City (KIC) bernilai kira-kira RM700 juta dijangka mewujudkan hampir 12,000 peluang pekerjaan, sekali gus menjadikan Kerian sebagai hab industri baharu di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan seluas 114.8 hektar itu merupakan langkah strategik kerajaan negeri untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi menerusi aspirasi pelan Perak Sejahtera 2030.

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek berkenaan turut membuka peluang kepada perusahaan tempatan, vendor dan industri sokongan untuk berkembang seiring dengan kemasukan pelaburan baharu.

“Kedudukan Kerian yang berhampiran dengan pusat perindustrian Batu Kawan di Pulau Pinang dan Kulim di Kedah memberikan kelebihan kepada KIC untuk memanfaatkan perkembangan rantaian bekalan dan aktiviti pembuatan di wilayah utara Semenanjung.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanah bagi Pembangunan KIC di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Iklan

Pembangunan Kerian Industrial City (KIC) bernilai kira-kira RM700 juta dijangka mewujudkan hampir 12,000 peluang pekerjaan. Foto Pejabat Menteri Besar Perak

Saarani berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada keperluan pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) baharu bagi menyokong pembangunan kedua-dua kawasan industri berkenaan.

Sehubungan itu, penyelarasan antara pihak berkaitan termasuk SD Guthrie, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan InvestPerak perlu diperkukuh bagi mempercepat cadangan pembangunan PMU serta urusan laluan rentis yang melibatkan kawasan KIGIP.

Jelasnya, usaha itu perlu dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan teknikal serta kelulusan berkaitan bagi memastikan pembangunan infrastruktur dapat berjalan lancar.

“Kerajaan negeri mahu memastikan pembangunan KIC bukan sahaja menarik pelaburan baharu, tetapi turut membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada anak tempatan, meningkatkan pendapatan dan merancakkan kegiatan ekonomi masyarakat setempat.

“Sehubungan itu, saya mahu PKNPk bersama pihak pemaju dan agensi berkaitan memberikan keutamaan kepada pelaksanaan projek yang cekap supaya manfaat pembangunan KIC dapat dinikmati oleh rakyat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Perak dalam jangka panjang,” katanya.

KIC dibangunkan Bumi Johan Sdn Bhd iaitu anak syarikat Asiabina Group sebagai pemaju di atas tanah milik PKNPk.

Pembangunan itu merangkumi 36 unit kilang berkembar, 47 lot tanah industri, kuarters pekerja berpusat (CLQ) berkapasiti 3,000 pekerja, 553 unit kediaman serta komponen komersial.