DSA, NATSEC Asia 2024: Maritim Malaysia intai teknologi terkini

Iklan
Saiful (kiri) meluangkan masa bertemu dan melihat perkembangan teknologi yang dipamerkan di DSA dan NATSEC Asia 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin. Foto: Maritim Malaysia.

KUALA LUMPUR - Pertemuan bilateral bersama rakan setugas dari luar negara akan dimanfaatkan sepenuhnya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi menangani ancaman baharu di perairan negara.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, perbincangan tersebut melibatkan 'Maritime Domain Awareness' khususnya melalui bukan ancaman keselamatan tradisional serta ancaman terbaharu dalam bentuk keselamatan siber.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ia berikutan terdapat kumpulan jenayah terancang yang kini semakin berani mempromosikan aktiviti mereka di platform media sosial seperti menyediakan perkhidmatan membawa masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

"Kesempatan ini akan digunakan bagi membincangkan keselamatan dan ancaman terbaharu dalam bentuk keselamatan siber," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Saiful berkata, pertemuan bilateral itu turut melibatkan perbincangan berhubung jenayah kewangan yang dikhuatiri membiayai aktiviti-aktiviti pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia seperti penyeludupan dan pemerdagangan orang.

Selain itu, menurut beliau, DSA dan NATSEC 2024 turut membuka ruang kepada barisan pegawai Maritim Malaysia untuk berinteraksi dan berkongsi pendapat dengan rakan sejawat daripada agensi penguat kuasa maritim luar negara.

Iklan

Jelas beliau lagi, kesempatan yang ada itu akan dimanfaatkan bagi merapatkan hubungan strategik antara agensi.

Tambahnya, pameran yang berlangsung itu membuka peluang kepada Maritim Malaysia mengintai teknologi terkini yang boleh digunakan dalam menguatkuasakan undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

Kata beliau, antara yang menarik perhatian adalah teknologi terkini perkapalan, sistem elektronik, simulator, sistem senjata dan amunisi serta sistem teknologi marin terkini.

Menurutnya, kesemua kelebihan itu disediakan oleh syarikat daripada negara pengeluar industri pertahanan dan keselamatan utama dunia seperti Turkiye, Amerika Syarikat, China serta Korea Selatan.

Jelas beliau, keupayaan sistem dan senjata terkini yang dipamerkan menarik perhatian Maritim Malaysia, seiring dengan fokus yang terkandung dalam Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2023-2033.

Tegasnya, ia bagi memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang dan pemantapan kawalan keselamatan sempadan maritim negara.

"Melalui penaiktarafan sistem dan persenjataan, Maritim Malaysia yakin akan mampu membanteras lebih banyak aktiviti jenayah maritim dengan kepelbagaian modus operandi yang semakin kompleks.

"Jenayah yang berlaku akan memberikan risiko bahaya kepada rakyat Malaysia khususnya komuniti maritim," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!