PM gesa tindak balas bersepadu secara global

Iklan
Anwar hadir pembukaan DSA dan NATSEC Asia 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru tindak balas bersepadu secara global ditampilkan semasa dunia berhadapan dengan landskap global yang semakin berpecah-belah, yang mengancam keselamatan dan kemakmuran kolektif.

Perdana Menteri berkata, ancaman semakin meningkat ini, antaranya serangan siber, kebimbangan berkaitan alam sekitar dan kekurangan sumber, mendorong dunia menghala ke arah titik perubahan yang belum pernah berlaku sebelum ini, menuntut tindak balas yang bersepadu.

Iklan
Iklan

"Alam digital, apa yang dipanggil realiti kedua kita, menghadapi serangan siber tanpa henti, yang mengancam untuk menjejaskan data kita yang paling sensitif, menjejaskan keselamatan kita dan kepercayaan yang menjadi pegangan masyarakat dan ekonomi kita.

"Kebimbangan terhadap alam sekitar dan kekurangan sumber memburukkan lagi ketegangan ini.

Iklan

"Perubahan iklim bukanlah ancaman yang masih jauh, namun krisis semasa yang memberi kesan kepada keselamatan makanan menyebabkan bencana alam dan masyarakat yang kehilangan tempat tinggal.

"Ketika masyarakat goyah di bawah tekanan ini, bencana kehancuran ekonomi kelihatan semakin hampir yang menjejaskan prospek kemakmuran masa depan,” katanya ketika merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC ASIA) 2024 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi DSA Tan Sri Asmat Kamaludin.

Anwar berkata sehubungan itu adalah jelas bahawa cabaran yang dihadapi dunia sekarang bukanlah terpencil, tetapi elemen yang saling berkaitan daripada krisis global yang lebih luas.

Beliau berkata ia menuntut tindak balas serta strategi kolektif, dan DSA dan NATSEC Asia 2024 menjadi sinar harapan untuknya, dan ia seharusnya digunakan sebagai platform untuk merangsang tekad kolektif bagi menghadapi, mengatasi kerumitan landskap keselamatan dan pertahanan moden.

"Tema 'Membina Negara yang Berdaya Tahan untuk Generasi Akan Datang' mencabar kita untuk melihat di luar ufuk kita sendiri dan berinovasi dalam cara yang mengukuhkan negara kita daripada pelbagai ancaman.

"Ia adalah seruan yang jelas untuk meletakkan asas bagi dunia yang lebih baik, di mana generasi esok boleh berkembang maju secara aman, dilindungi oleh pertahanan teguh dan perkongsian strategik yang kita usahakan hari ini," katanya.

Anwar juga menyeru industri pertahanan tempatan untuk merebut peluang ini bagi mempamerkan keupayaan dan inovasi mereka di persada global.

Beliau berkata, dedikasi dan kepintaran mereka telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pertahanan Malaysia, dan dengan itu inilah masanya untuk mereka menunjukkan kepakaran mereka.

"Saya menggesa semua peserta untuk bersama-sama, berkongsi pengetahuan, berinovasi, bertukar-tukar teknologi dan idea baharu, dan menjalin perkongsian.

"Saya percaya bahawa acara dan perbincangan dalam tempoh tiga hari akan datang akan menjadi pemangkin kepada perubahan positif, ke arah masa depan yang terjamin untuk kita dan generasi akan datang," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia akan kekal teguh dalam isu berkecuali dari segi dasar luarnya bagi memastikan keamanan dan kestabilan dunia.

"Malaysia secara khusus mengambil pendirian dasar luar yang sangat kukuh dengan melihat kepada kepentingan keamanan dan berkecuali.

"(Malaysia) terus menjalin hubungan yang sangat baik dengan negara-negara di Barat, Amerika Syarikat dan negara Eropah, menjalin kerjasama yang lebih erat dengan Afrika, Amerika Latin dan memperluaskan perkongsian strategik ke China, India dan seluruh Asia," katanya sambil menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam ASEAN.- Bernama

Iklan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!