Hail Amir meninggal dunia

Iklan
Allahyarham Hail Amir menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebentar tadi.

[DIKEMAS KINI] SELEPAS dua hari dimasukkan ke hospital, penyanyi dan pelakon era 1970-an, Datuk Hail Amir, 77, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam jam 4.24 petang akibat jangkitan paru-paru.

Berita duka itu disahkan menantu Allahyarham, Aiman Farhan kepada Sinar Harian.

Iklan
Iklan

Menurut Aiman, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Ukay Perdana, Ampang bagi memberi peluang kepada ahli keluarga dan rakan terdekat memberi penghormatan terakhir, sebelum urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

"Arwah pergi dengan tenang di samping isteri dan anak-anak.

Iklan

"Kami hantar papa ke hospital Sabtu lalu selepas dia mengadu tidak sihat dan sudah lama batuk. Tidak ada apa-apa tanda atau kelainan yang ditunjukkan," ujarnya.

Tambah Aiman, Allahyarham juga sempat meluangkan masa menyambut lebaran bersama keluarga dan sanak-saudara pada Aidilfitri, baru-baru ini.

Iklan

"Masa hari raya pun dia tidak ada tunjuk sebarang perubahan.

"Cuma nampak arwah nampak penat dan jalan bersama tongkat," katanya ringkas.

Semasa hayatnya, Allahyarham dikenali menerusi lagu Ku Ingin Selalu Di Sampingmu, Semakin Hari Semakin Sayang, Wajah Kesayangan Hamba, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu raya, Seloka Hari Raya bersama Uji Rashid.

Beliau mula berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar tahun 1971 dan ditawarkan menyertai kelab budaya di Kementerian Belia dan Sukan.

Hail atau nama sebenarnya Abdul Hail Amir juga berkebolehan bermain boria digilap bakat lakonannya menerusi filem pertama Jiwa Remaja pada tahun 1975 bergandingan dengan Uji Rashid dan Datuk Yusof Haslam.

Antara filem lain lakonannya ialah Menanti Hari Esok (1977) Cinta dan Lagu (1976), Dendang Perantau dan Sesejuk Airmata Ibu (1979) dan Anita Dunia Ajaib (1981) dan Jaket Biru (1991).

Di atas jasanya dalam bidang seni, anak kelahiran Kampung Kebun Lama, Pulau Pinang itu menerima pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022.

Hail meninggalkan seorang balu, Datin Safiah Ibrahim bersama empat anaknya Chintafifi, Chintahailfi, Chintasyafiana, dan Lutfi Ameer berserta sembilan orang cucu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!