Kerajaan perlu beralih kepada pendekatan 'Governing by Network'

Iklan
Noor Azlan

SHAH ALAM - Kerajaan perlu serius beralih kepada pendekatan ‘Mentadbir melalui Rangkaian’ atau ‘Governing by Network’ iaitu dengan menggembelingkan jaringan masyarakat bagi menyelesaikan permasalahan awam.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, zaman kerajaan tahu semua dan buat semua perkara telah tamat seterusnya mempengaruhi perkhidmatan awam untuk berubah.

Iklan
Iklan

"Pembangunan ekonomi dan masyarakat menuntut kerajaan melaksana tanggungjawab dan menyampaikan perkhidmatan dengan cara baharu. Mesti berubah.

"Dalam konteks yang lebih luas, kejayaan pembangunan telah mewujudkan Masyarakat Baharu. Pendapatan dan pendidikan yang lebih baik mengubah bentuk hubungan dan harapan rakyat-kerajaan.

Iklan

"Masyarakat baharu lebih bersedia, malah menuntut untuk diberi ruang bersama kerajaan menyelesaikan permasalahan awam, tidak cukup dengan sesi libat urus, sekadar mohon pandangan atau taklimat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada penjawat awam untuk berinovasi mencuba cara baharu dalam tadbir urus supaya perkhidmatan awam lebih berkesan.

Iklan

Noor Azlan menjelaskan, kecenderungan penjawat awam untuk kekal cara lama, tidak mahu berubah tetapi inginkan keberhasilan yang lebih baik bukan sahaja tidak berkesan, tetapi merupakan 'tindakan tidak masuk akal atau gila’ seperti kata saintis terkemuka, Albert Einstein.

Menurutnya, kerajaan perlu mengotakan apa yang dikata seperti frasa ‘Whole of Nation’ yang kini kerap didengari dan diungkap sebagai landasan pelbagai inisiatif yang dilakukan kerajaan demi rakyat.

Tambah beliau, kewujudan pelbagai persatuan dan pertubuhan masyarakat (NGO dan CSO) bagi mewakili kumpulan masyarakat atau kemaslahan awam (kemiskinan, kebersihan sungai, kesihatan, pendidikan, alam sekitar, ibu tunggal, warisan dan budaya, wanita serta belia dan sebagainya) adalah petanda yang jelas Masyarakat Baharu telah pun terbentuk di Malaysia.

"Di Ceruk Tok Kun sahaja sudah ada puluhan persatuan kata Perdana Menteri. Apa lagi di kawasan bandar. Penjawat awam tidak lagi boleh duduk selesa di pejabat dan bilik mesyuarat, mengarah dari langit.

"Mengurus jaringan masyarakat adalah kekuatan baharu yang perlu dibina. Perdana Menteri minta penjawat awam turun ke padang. Bertemu dan berbincang dengan masyarakat.

"Mungkin juga mereka mempunyai pengalaman, cadangan dan keupayaan yang lebih baik atau setidaknya dapat digemblengkan bersama perkhidmatan awam,” ujarnya,

Noor Azlan menegaskan, seruan kepada penjawat awam itu juga bukanlah kali pertama dibuat Perdana Menteri.

"Bila agaknya kita akan menyaksikan tindakannya? Kalau di Arab Saudi, kata Perdana Menteri tandatangan jam 9.30 pagi, jam 8 malam semua (pelaburan) selesai diluluskan. Di Malaysia, berapa lama?” soalnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!