Warga emas guna gambar Agong, dijel sebulan, denda RM3,000

Iklan
Sebuah kenderaan pacuan empat roda didapati menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika kempen PRK Kuala Kubu Baharu.

HULU SELANGOR – Tindakan seorang warga emas menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) Sabtu lalu, mengundang padah apabila dia dihukum penjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret KKB di sini pada Isnin.

P Ramasamy, 66, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu 4 Mei lalu, dan sekiranya gagal membayar denda, dia akan dijel selama 10 bulan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong di sebuah kenderaan jenis Mazda, yang juga membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH).

Iklan

Ia dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam PRK Kuala Kubu Baharu untuk mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon daripada parti PH.

Kesalahan dibuat di kawasan Taman Bukit Nunga, Kuala Kubu Baharu di sini, pada jam 5.40 petang, pada 4 Mei lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4a (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, tertuduh yang bekerja sendiri, merayu mahkamah memberikan hukuman ringan kerana tidak mengetahui bahawa tindakan berkenaan menyalahi undang-undang.

"Saya tidak tahu ia menjadi satu kesalahan, kerana mahu memeriahkan suasana PRK sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan mencadangkan, mahkamah menjatuhi tertuduh hukuman berat, sebagai pengajaran agar kejadian sama tidak berulang.

"Ia mengambil kira kes yang dilakukan, telah menghina Yang di-Pertuan Agong, ia merupakan isu sensitif dan boleh menimbulkan kemarahan seluruh rakyat,” katanya.

Sabtu lalu, dua lelaki diberkas selepas pacuan empat roda yang dinaiki menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika kempen PRK DUN KKB.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!