Tragedi tiga beranak lemas: Arwah seorang pendiam, suka bantu orang

Iklan
Laporan Sinar Harian

HULU SELANGOR - Allahyarham Arif Fadzil Abdul Saleh, 43, yang mati lemas bersama dua anaknya di Sungai Balak, Batang Kali tengah hari Ahad disifatkan sebagai pendiam dan banyak membantu orang.

Abang ipar beliau Mohd Azri Azahar, 39, berkata, Allahyarham yang mengusahakan perniagaan motosikal klasik juga merupakan seorang ketua keluarga yang baik kepada adiknya (isteri Mohd Azri).

Iklan
Iklan

Menurut Mohd Azri kali terakhir beliau berjumpa dengan keluarga adik iparnya itu adalah pada awal Hari Raya Aidilfitri lepas namun Arif Fadzil ketika itu tiada di rumah kerana berada di Jepun untuk urusan perniagaan.

"Arwah, isteri dan tujuh anaknya berusia antara satu hingga 13 tahun datang ke sini untuk berkelah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Kuala Kubu Baharu di sini pada Ahad.

Iklan

Mengenai pengurusan jenazah Allahyarham, Mohd Azri berkata, jenazah ketiga-tiga mangsa akan disembahyang dan dimandikan di Masjid Jamek Ar Rahimah di sini sebelum dikebumikan di Kuala Lipis, Pahang selepas urusan bedah siasat selesai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintenden Ahmad Faizal Tahrim dalam kenyataannya berkata, mayat kesemua mangsa ditemukan oleh orang awam pada pukul 1.30 tengah hari dan dibawa ke tepi sungai sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.

Iklan

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila anak perempuan yang berusia sembilan tahun tergelincir ke dalam sungai dan Arif Fadzil terjun untuk menyelamatkan anaknya.

"Tanpa disedari oleh si ibu, anak lelakinya yang berusia enam tahun turut terjun ke dalam sungai menyebabkan ketiga-tiga mereka mati lemas.

"Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai kesihatan dan kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk bedah siasat," katanya.

Menurut beliau kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai dinasihati supaya sentiasa peka dengan keselamatan diri dan anggota keluarga ketika melakukan aktiviti air di kawasan Hulu Selangor bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!