Program integriti sasar 1,000 penyertaan kanak-kanak paling ramai dalam negara

Iklan
Mudirah (kiri), Norhayati

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Modal Insan Negeri Selangor bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) menyasarkan untuk memecah rekod Malaysia Book Of Records menerusi penglibatan paling ramai iaitu 1,000 kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun dalam program Most Kindergartener Participants In An Integrity Awareness Campaign pada 20 Mei ini.

Ketua Jabatan Integriti dan Governans MBI Selangor, Mudirah Muhammad Nor berkata, program dengan kerjasama Persatuan Taska, Tadika dan Pusat Jagaan Selangor (PTNS) serta Rasuah Busters itu bertujuan memberi pendedahan awal mengenai kepentingan nilai integriti melalui cara yang mudah difahami oleh kanak-kanak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kanak-kanak yang mewakili pelbagai institusi sekitar Selangor akan diberikan komik khas integriti untuk aktiviti mewarna yang dinamakan Buku Kreativiti Integriti bagi menyemai nilai integriti dalam diri mereka.

"Dalam penceritaan berkaitan watak ini, kami membuatnya dalam bahasa paling mudah supaya mereka boleh memahami isu dan nilai murni yang cuba kami sampaikan.

Iklan

"Hasil karya yang akan dibawa pulang nanti diharap dapat membuka peluang dalam mencetuskan perbualan antara anak-anak dengan ibu bapa mengenai integriti," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Program yang memberi pendedahan awal mengenai nilai integriti kepada kanak-kanak itu akan berlangsung secara hibrid iaitu di institusi masing-masing dan Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, dekat sini bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Iklan

Mengulas lanjut, Mudirah berkata, pihaknya telah merekodkan jumlah peserta seramai 344 kanak-kanak iaitu 31 peratus setakat jam 12.50 petang pada Jumaat dan dijangka berlaku pertambahan dari masa ke masa sehingga hari program utama.

"Kami menjangkakan jumlah ini akan terus meningkat kerana penyertaan ini terbuka kepada mereka yang memang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau mana-mana institusi di bawah PTNS.

"Disebabkan program ini kami laksanakan secara hibrid dan serentak, jadi komik tersebut akan diedarkan kepada 550 peserta seawal Khamis ini manakala baki peserta akan berada dalam program utama nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Norhayati Nordin berkata, program tersebut penting pada peringkat kanak-kanak untuk menormalisasikan nilai murni dengan gaya hidup mereka.

Tambahnya, kesan yang ditanam dalam jiwa kanak-kanak menerusi program itu akan menghasilkan karakteristik yang memberi manfaat kepada negara pada masa hadapan.

"Penerapan integriti ini bukan sahaja melalui formal semata-mata tetapi boleh juga dilakukan secara tidak formal seperti aktiviti mewarna dengan memberi pemaknaan kepada gambar tersebut.

"Malah, bentuk pembelajaran tidak semestinya yang membina kepada kerjaya sahaja kerana pembinaan karakter bermula dari rumah tetapi tadika proses utama.

"Sebagai contoh, menjadi doktor yang amanah, membuat kebaikan, tidak buang sampah merata-rata, bersimpati kepada orang tua. Bukan hanya pergi sekolah untuk bina kerjaya tetapi karakter lebih mulia," katanya.

Sementara itu, Norhayati berkata, program itu juga wajar disambut baik seluruh negara berikutan kanak-kanak tidak diasuh secara langsung untuk menolak rasuah.

"Pembinaan nilai diperkukuh dengan pembelajaran dan perlu libatkan ibu bapa yang bertindak memberi sokongan kepada anak-anak untuk membina karakter lebih baik.

"Kita mahu ukir masa depan lebih baik kepada negara kita melalui pembentukan sahsiah sejak peringkat awal dan proses ini kita tidak buat secara drastik tetapi program ini sebagai pintu masuk ke alam yang lebih mencabar," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!