[VIDEO] Tapak pelupusan sampah terbakar, diselubungi asap tebal

Iklan

KUALA TERENGGANU - Pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berwaspada ketika melalui kawasan pelupusan sampah Kampung Sungai Ikan di sini yang terbakar kerana jarak penglihatan di situ agak terhad.

Situasi bertambah buruk setelah kawasan tersebut dilanda hujan sekitar jam 1 tengah hari pada Sabtu menyebabkan laluan jalan raya bersebelahan kawasan kebakaran itu diselubungi asap tebal.

Iklan
Iklan

Tinjauan mendapati pengguna jalan raya terpaksa menyalakan lampu dan memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan tersebut.

Hanisah

Seorang peniaga, Hanisah Shafie, 48, berkata, kawasan itu diselubungi asap tebal selama hampir 20 minit sebaik ia dibasahi hujan kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Iklan

Menurutnya, kawasan itu kali pertama menerima hujan selepas ia terbakar sejak lebih seminggu iaitu pada 26 April lalu.

"Selepas hujan turun keadaan jadi sangat berkabus dan asap tebal.

Iklan

"Situasi tu kita lihat sangat bahaya kepada pengguna jalan raya sebab berisiko ditimpa kemalangan.

"Apa yang saya lihat tadi, ada yang terpaksa berhenti di bahu jalan kerana tidak mahu mengambil risiko memandu dalam asap tebal," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Keadaan jalan yang berasap tebal mengehadkan jarak penglihatan pengguna jalan raya.

Sementara itu, kakitangan swasta, Ahmad Rizal Hasan, 43, berkata, dia terkejut apabila mendapati asap terlalu tebal berbanding kebiasaan ketika memasuki Kampung Gemuruh tengah hari Sabtu.

"Kawasan ni memang laluan saya berulang alik ke bandar Kuala Terengganu setiap hari dan sejak kebakaran berlaku kawasan ni agak terjejas sebab asap tebal dan pengguna jalan perlu berhati-hati ketika menggunakan laluan ini.

"Waktu hujan tadi memang tak nampak apa-apa, kiri kanan warna putih sahaja dan saya terpaksa berhenti sekejap di tepi jalan hingga asap reda," katanya.

Kebakaran di kawasan pelupusan sampah membabitkan lebih enam daripada lapan hektar itu dipercayai berlaku akibat cuaca terlalu panas.

Siasatan awal pihak bomba mendapati punca kebakaran lebih menjurus kepada faktor semula jadi iaitu cuaca panas selain sisa sampah menerima haba terlalu tinggi sehingga mencetuskan api yang marak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!