Musim kemarau: Agensi cuaca Indonesia keluar amaran cuaca panas

Iklan
Gambar hiasan

JAKARTA - Kira-kira 63.66 peratus wilayah Indonesia akan mengalami musim kemarau dari Mei hingga Ogos tahun ini, menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) negara itu.

"Apabila Mei bermula, beberapa kawasan akan memasuki awal musim kemarau manakala yang lain kekal dalam fasa peralihan. Ini bermakna awal Mei mungkin akan membawa suhu panas dan langit cerah pada waktu siang,” menurut timbalan meteorologi BMKG, Guswanto dalam satu kenyataan.

Iklan
Iklan

Beliau juga menjelaskan bahawa gelombang haba baru-baru ini di beberapa kawasan Asia tidak mempunyai kaitan dengan suhu panas di Indonesia, dengan menyatakan bahawa haba di negara itu adalah kitaran disebabkan oleh pergerakan matahari dan cuaca siang yang cerah.

Gelombang haba yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia adalah satu tempoh cuaca panas yang berlangsung lima hari atau lebih, dengan suhu maksimum harian melebihi purata sebanyak 5°C atau lebih.

Iklan

"Secara meteorologi, ini berlaku apabila udara panas terperangkap berhampiran permukaan kerana dinamik atmosfera yang luar biasa, menyebabkan aliran udara yang terhad, terutamanya dalam sistem tekanan tinggi berskala luas yang berpanjangan.

"Keadaan cuaca seperti itu tidak mungkin berlaku di Indonesia, terletak berhampiran khatulistiwa," kata Guswanto.

Iklan

Berdasarkan data BMKG, suhu melebihi 36 darjah Celsius (°C) telah direkodkan di pelbagai wilayah di Indonesia, termasuk Deli Serdang (Sumatera Utara) pada 37.1°C, Medan (Sumatera Utara) pada 36.6°C dan Kapuas Hulu (Kalimantan Barat) pada 36.6°C.

Walaupun beberapa kawasan mengalami cuaca panas, Guswanto menegaskan bahawa masih terdapat kemungkinan hujan sederhana hingga lebat di beberapa bahagian Indonesia.

Pada penghujung April 2024, hujan lebat berlaku di beberapa wilayah dengan Kerinci (Jambi) menerima 83.8 milimeter sehari (mm/hari), Manado (Sulawesi Utara) mendapat 80 mm/hari, Aceh Besar (Aceh) mengalami 130 mm/hari, Minangkabau (Sumatera Barat) menerima 84 mm/hari dan Indragiri (Riau) mengalami 92 mm/hari. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!