REACH gesa MPAJ tangguh kenaikan cukai taksiran

Iklan
Iskandar

SHAH ALAM - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) digesa menangguhkan kenaikan cukai taksiran terutama dalam keadaan rakyat berdepan dengan kenaikan harga barangan keperluan dan kenaikan tarif elektrik.

Ketua Penyelaras Pusat Khidmat untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kenaikan cukai taksiran itu menambah beban dan menimbulkan keresahan dalam kalangan pemilik premis di Ampang Jaya.

Iklan
Iklan

"Terdapat kritikan terhadap MPAJ oleh penduduk yang mempersoalkan perkhidmatan yang diterima oleh mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iskandar memberitahu, kenaikan itu misalnya menyebabkan penduduk perlu membayar cukai tambahan sebanyak RM55 setahun iaitu tambahan sebanyak 50 peratus daripada kadar sedia ada sebanyak RM110 setahun.

Iklan

"Saya dimaklumkan seorang pemilik hartanah pula menerima notis untuk kadar baru sebanyak RM429 setahun berbanding dengan kadar sedia ada sebanyak RM198 setahun.

Sehubungan itu, katanya, penduduk mahu tahap perkhidmatan MPAJ ditambah baik sebelum sebarang kenaikan cukai.

Iklan

Jelas beliau, MPAJ wajar menggariskan terlebih dahulu penambahbaikan terhadap perkhidmatan yang akan diterima oleh penduduk sebelum sebarang kenaikan.

"MPAJ perlu membuktikan kewajaran kenaikan kadar cukai taksiran jika mahu melaksanakannya," kata beliau.

Menurut Iskandar, penduduk juga tidak melihat sebarang program turun padang oleh wakil rakyat atau Ahli Majlis untuk menerangkan tentang kenaikan ini.

"Sepatutnya untuk perkara yang begitu penting, siri program turun padang seperti majlis penerangan dan dialog awam perlu dilaksanakan," ujar beliau.

Iskandar memberitahu, meskipun MPAJ memberi peluang kepada pemilik premis membuat bantahan sehingga 15 Mei ini, namun publisiti tentangnya tidak meluas.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kebanyakan pemilik premis tidak membuat bantahan dan akan terkejut bila mendapat tahu kadar baharu yang terpaksa dibayar berkuat kuasa pada tahun depan.

"Walaupun terdapat notis di dalam akhbar-akhbar, namun tidak ramai perasan notis tersebut.

"Sepatutnya kain rentang dinaikkan secara meluas dan risalah-risalah diedarkan di tempat-tempat tumpuan umum seperti pasar malam, pasar tani, kompleks beli-belah, pasar raya, masjid dan surau," jelas Iskandar.

Tegas beliau, kerajaan negeri boleh membantu MPAJ sekiranya memerlukan dana tambahan sebanyak RM14 juta hasil daripada kenaikan tersebut.

"Kerajaan Persekutuan juga wajar membantu memandangkan kedua-dua kerajaan ini adalah dari blok politik yang sama dan rakyat tidak sepatutnya dibebankan," tambahnya.

Sebelum ini MPAJ mengumumkan akan melaksanakan kadar cukai taksiran yang baharu untuk 181,144 premis yang terdiri daripada 85,646 premis di atas tanah (landed) dan 95,498 premis strata.

Premis strata yang tidak direnovasi akan mengalami kenaikan sehingga 25 peratus, sementara premis yang telah direnovasi akan mengalami kenaikan lebih tinggi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!