Rasuah RM3.3 juta: CEO syarikat pembekalan air, pemilik syarikat ditahan

Iklan

JOHOR BAHRU - Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat pembekalan air dan seorang pemilik syarikat ditahan selepas disyaki menerima rasuah sebanyak RM3.3 juta daripada pemilik dua syarikat kontraktor.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kedua-dua suspek lelaki berusia 38 dan 35 tahun itu telah ditahan di pejabat SPRM Selangor, kira-kira jam 4 petang Selasa.

Iklan
Iklan

"Penahanan tersebut berikutan siasatan atas beberapa aduan sekitar tahun 2023, di mana suspek telah menerima wang rasuah daripada pemilik dua buah syarikat kontraktor.

"Ia sebagai balasan membantu syarikat berkenaan memperoleh kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan daripada syarikat pembekalan air tersebut.

Iklan

"Selain itu, suspek juga terlibat dengan kesalahan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berhubung dengan permohonan sumbangan bagi sebuah program berjumlah RM3.3 juta sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Iklan

"Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada jam 8.30 pagi Rabu bagi mendapatkan permohonan reman," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!