PH yakin kekal di KKB, tak gusar serangan kempen lapuk PN - Mahfuz

Iklan
Mahfuz ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri beliau, di sini pada Selasa.

ALOR SETAR - Calon Pakatan Harapan (PH) diyakini akan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 11 Mei depan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, ia berdasarkan kepada sokongan masyarakat setempat yang meningkat terhadap kemampuan Kerajaan Perpaduan mentadbir sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.

Iklan
Iklan

Menurutnya, disebabkan itu, pihaknya tidak gusar dengan kempen Perikatan Nasional (PN) yang masih memainkan sentimen perkauman mahupun serangan peribadi terhadap calon PH.

"Saya melihat masyarakat di sana (Kuala Kubu Baharu) sudah dapat melihat dan menilai tentang kepelbagaian dan keupayaan Kerajaan Perpaduan melaksanakan pelbagai usaha membangunkan negara.

Iklan

"Ia memberikan penambahan keyakinan masyarakat pelbagai kaum sama ada Melayu, Cina atau India serta etnik lain yang akan terus memberikan sokongan kepada PH,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri beliau, di sini pada Selasa.

Mahfuz berkata, PH tidak perlu bimbang terhadap kempen-kempen PN yang masih membawa sentimen perkauman yang disifatkan sudah lapuk.

Iklan

Menurutnya, setakat ini kempen kedua-dua pihak berlangsung dengan baik, namun PN masih lagi belum keluar daripada kempen berunsurkan sentimen perkauman dan keagamaan sempit yang menakutkan.

"Ini kerana mereka mahu tumpu kepada undi Melayu, sebab itu mereka (PN) letak calon Melayu, jadi PN bawa sentimen yang menakutkan masyarakat Melayu, kononnya negara kita akan dijajah oleh orang lain dan sebagainya dalam ceramah politik,” ujarnya.

Mengulas mengenai pihak tertentu yang memainkan isu sijil akademik kedua-dua calon, Mahfuz menyifatkan ia politik kebudak-budakan.

"Tidak kira dari mana parti pun, saya anggap kita tak perlu memainkan isu seperti itu. Lebih penting ialah apa perkhidmatan yang mampu dibawa oleh setiap calon, komitmen tinggi kepada masyarakat dan rakyat,” jelasnya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PH diwakili Pang Sock Tao, Khairul Azhari Saut mewakili PN, selain Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Beberapa penganalisis politik meramalkan persaingan sebenar adalah antara calon PH dan PN, yang dikatakan mempunyai peluang sama rata untuk menang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!