Kontraktor tak mengaku palsukan dokumen tender

Iklan
Yunus (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Selasa.

IPOH - Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas lima pertuduhan memalsukan dokumen bagi permohonan tender perkhidmatan kebersihan sekolah.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, tertuduh, Yunus Abdullah, 52, didakwa secara menipu telah menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank bagi tarikh penyata 31 Mei, 31 Jun dan 31 Julai 2017 milik Lembah Larut Enterprise yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan tersebut, tertuduh telah mengarahkan Muhammad Sofi Salleh, 33, untuk meminda penyata akaun CIMB Bank tersebut bagi permohonan Tender Perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan ke Sekolah dan Institusi Pendidikan bagi zon 13 Daerah Kerian di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Kesemua kesalahan itu dilakukan Pejabat Pendidikan Daerah Kerian, Jalan Permai Utama, Kampung Kedah, Parit Buntar pada September 2017.

Iklan

Sementara itu, tertuduh turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan iaitu secara menipu telah menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun Maybank bagi tarikh penyata 31 Mei, 31 Jun dan 31 Julai 2016 milik Mega MH Resources yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Mengikut pertuduhan tersebut, tertuduh telah mengarahkan Muhammad Sofi Salleh, 33, untuk meminda penyata akaun Maybank tersebut bagi permohonan Tender Perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan ke Sekolah dan Institusi Pendidikan bagi zon 26 Daerah Larut, Matang dan Selama di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Iklan

Perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Sharul Azuan Ghazali menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam tertuduh, Nor Fatihah Ibrahim kemudiannya memohon jumlah tersebut dikurangkan kerana isteri tertuduh tidak bekerja dan menanggung perbelanjaan tiga daripada empat anaknya yang masih belajar.

Hakim Datuk Ibrahim Osman menetapkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain tertuduh perlu melapor diri setiap 1 haribulan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, mahkamah turut menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!