[VIDEO] Tipu status Tanah Rizab Melayu, bekas pegawai PTG didakwa

Iklan

IPOH - Seorang bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas tuduhan menipu status Tanah Rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu.

Tertuduh, Rosli Che Mohamed, 64, didakwa telah menipu Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak iaitu dengan memperdaya lembaga tersebut untuk mempercayai bahawa tanah No. Hak Milik PN 174770-174772, No Lot PT 17527-17529, Mukim Sitiawan, Manjung Perak adalah bukan Tanah Rizab Melayu melalui Borang Pembetulan Data Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak bertarikh 25 Mac 2011.

Iklan
Iklan

Rosli (kanan) mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu status Tanah Rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa.

Iklan

Mengikut pertuduhan, disebabkan perbuatan itu ia telah mendorong Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak untuk meluluskan Permohonan Pecah Sempadan Tanah bagi Hakmilik PN 174772, Lot 17527 kepada 317 Plot seluas kira- kira 649.2 hektar Mukim Sitiawan, Daerah Manjung kepada Nadi Agrobusiness Sdn Bhd yang mana Lembaga tersebut tidak akan berbuat demikian sekiranya ia mengetahui perkara tersebut adalah tidak benar.

Tindakan tersebut dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, Bangunan Sri Perak Darul Ridzuan, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini pada 4 Januari 2012.

Iklan

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikenakan itu.

Rosli (kanan) mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu status Tanah Rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam tertuduh, Syahrul Nizam Mohd Rabi kemudiannya merayu mahkamah agar jaminan dikurangkan kerana anak guamnya merupakan seorang warga emas yang menghidap sakit jantung dan perlu menjalani rawatan di Institut Jantung Negara setiap enam bulan.

Hakim Datuk Ibrahim Osman kemudiannya menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan tanpa gagal.

Mahkamah turut menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!