Komuniti di Rafah hidup dalam ketakutan

Iklan
Kem sesak di kawasan paling selatan Genting Gaza dihuni lebih 1.5 juta penduduk Palestin hilang tempat tinggal.

GENTING GAZA - Penduduk Palestin yang berlindung di Rafah menyatakan mereka kini hidup dalam keadaan ketakutan dan seakan-akan menunggu mati setelah Israel berkeras mahu meneruskan ofensif lebih ganas di kawasan paling selatan Genting Gaza tersebut.

Bandar tersebut yang kini sesak dengan kira-kira 1.5 juta penduduk hilang tempat tinggal berdepan ketidaktentuan setelah garis masa sebenar kempen ketenteraan itu yang dicanangkan sejak beberapa bulan lalu terus mencetuskan tanda tanya.

Iklan
Iklan

Rejim Zionis tetap dengan matlamat jahat mereka mahu menghapuskan pejuang Hamas tanpa menghiraukan bantahan komuniti antarabangsa.

Beberapa kanak-kanak menunggu penghantaran bekalan air bersih di Rafah.

"Kami tidak dapat hidup dengan tenang kerana sentiasa bimbang jika terpaksa berpindah dan berdepan pencerobohan ganas lagi. Perkara itu sentiasa bermain di minda,” ujar Nidaa Safi, 30, yang melarikan diri dari utara Gaza bersama keluarganya.

Iklan

Menurutnya, bandar Rafah terus dihujani bom meskipun ofensif darat tersebut belum bermula.

"Setiap hari kita akan mendengar tentang berita bedilan menyasarkan Rafah. Kami terus dicengkam ketakutan. Keluarga saya mahu berpindah ke Deir al-Balah di tengah Gaza. Saya berharap kami dapat tinggalkan Rafah sebelum Israel membunuh kami,” kata Nidaa lagi.

Iklan

Terdapat juga penduduk Gaza yang hanya berserah memandangkan tiada lagi tempat selamat untuk dituju.

Saya akan mengikuti perkembangan ofensif itu dengan teliti kerana saya sudah penat setelah berpindah-randah berulang kali sejak lebih enam bulan lalu," jelas Samah Deeb, 32, sambil menambah dia pernah berlindung di Hospital al-Shifa di Bandar Gaza sebelum ia digempur rejim Zionis.

Samah berkata, dia hanya akan berpindah jika diminta berbuat demikian.

"Kami sentiasa berdoa agar Israel tidak meneruskan rancangan untuk menggempur Rafah dan menyebabkan hidup kami menjadi lebih derita,” menurutnya.

Cuaca panas cabaran baharu

Qasim Abu Nahl, 40, dari Bandar Gaza juga sudah berpindah sebanyak empat kali.

"Perpindahan dari satu tempat ke tempat lain sememangnya sukar buat kami. Saya pernah dihujani bom selama hampir dua minggu di Hospital al-Rantisi sebelum melarikan diri ke Nuseirat di tengah Gaza dengan hanya membawa beg pakaian.

Rafah terus menjadi korban kezaliman rejim Zionis.

"Kami tidak tahu sama ada kami akan selamat pada esok hari atau tidak. Saban hari, kami dirundung resah tentang perkembangan situasi di Rafah,” katanya.

Bagi Noor al-Farah, 56, dia bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan.

"Saya mengalami keletihan mental kerana memikirkan nasib yang tidak diketahui,” ujarnya yang khuatir kerana tidak dapat menemui lokasi yang selamat di luar Rafah untuk berpindah.

Setelah lebih 200 hari Perang Gaza itu tercetus, penduduk Palestin kini berdepan masalah cuaca panas melampau.

Intisar Ramadan Ghaban, 61, berkata, tinggal di bawah khemah dengan keadaan sedemikian di samping takut pencerobohan Israel seperti menunggu 'kematian'.

Wanita itu berkata, dia telah berpindah randah di pelbagai lokasi dari Bandar Gaza sebelum destinasi akhir di Rafah.

"Ofensif ke atas Rafah adalah paling ditakuti oleh kami. Kami bimbang jika hari itu tiba dan kami sekali lagi diusir.

"Adakah tentera Israel akan memberi amaran awal atau mereka terus mengebom bandar ini. Kami tidak tahu apa yang akan terjadi,” tambahnya dalam nada sebak. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!