48 kes gagal guna tanda harga merah jambu

Iklan
Azman

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengenakan tindakan undang-undang melibatkan 48 kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan satu kes tiada tanda harga sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, bagaimanapun, tiada kesalahan menjual melebihi harga maksimum dikesan.

Iklan
Iklan

"Ia melibatkan 8,095 pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara merangkumi 144 premis borong dan pengeluar serta 7,951 bagi runcit.

"Pihak kementerian juga tidak menerima sebarang aduan.

Iklan

"Majoriti peniaga yang diperiksa mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuat kuasa sepanjang pelaksanaan skim ini.

"Kementerian ingin merakamkan penghargaan kepada pihak industri dan keseluruhan peniaga atas kerjasama dalam menjayakan skim ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, kerajaan telah melaksanakan skim berkenaan berkuat kuasa 5 hingga 19 April 2024 untuk menangani kos sara hidup semasa sambutan perayaan tersebut.

Tempoh pelaksanaan skim tersebut adalah selama 15 hari iaitu lima hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan sembilan hari selepas perayaan melibatkan sebanyak 22 jenis barangan harga terkawal berserta harga maksimumnya telah diwartakan.

Mengulas lanjut, Azman berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya serta maklum balas orang ramai, pelaksanaan skim itu telah berjalan dengan baik dan lancar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!