Anwar luang masa bincang isu serantau dengan Menteri Kewangan Indonesia
Iklan
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa mengadakan perbincangan bersama Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB) di Riyadh, Arab Saudi, pada Isnin.
Menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kedua-dua mereka berkongsi pandangan berkaitan isu serantau antara lainnya menyentuh mengenai pembaharuan fiskal kerajaan dan agenda memajukan kewangan Islam selaras dengan cabaran semasa termasuk keperluan membiayai peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan menangani kemiskinan.
Foto pertemuan Anwar bersama Menteri Kewangan Indonesia yang dikongsi di Facebook Perdana Menteri pada Isnin.