'Kempenlah bersungguh-sungguh, sampaikan fakta kejayaan Kerajaan Perpaduan' - PM

Iklan
Anwar kini berada di Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF). Foto Bernama

HULU SELANGOR -"Berkempenlah bersungguh-sungguh dan sampaikan fakta yang sebenar mengenai pencapaian dan kejayaan Kerajaan Perpaduan."

Itu pesanan yang dititip oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada jentera parti di lapangan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Iklan
Iklan

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Perdana Menteri turut berpesan supaya jentera parti berkempen secara sihat serta tidak menggunakan fitnah, sentimen perkauman dan memburukkan personaliti dalam misi mempertahan kerusi berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media Jabatan Pilihan Raya PKR Selangor di sini pada Isnin.

Iklan

Anwar kini berada di Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

Pengerusi Biro Antarabangsa PKR itu juga berkata, calon yang diketengah oleh Pakatan Harapan (PH) bagi mewakili Kerajaan Perpaduan mempunyai potensi kepimpinan hebat serta latar belakang pendidikan yang baik dan ia tidak seharusnya disia-siakan oleh pengundi di DUN KKB.

Iklan

"Walaupun PRK kali ini tidak mempunyai sebarang kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri namun warga KKB tidak boleh memandang remeh dan mensia-siakan peluang yang telah diberikan untuk memilih pemimpin yang tepat,” katanya.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao sebagai calon PH, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 7 Mei. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!