Perintah bela diri Bung Moktar, isteri kes rasuah RM2.8 juta khilaf

Iklan
Bung Moktar dan Zizie Izette.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini memutuskan hakim mahkamah rendah yang mengarahkan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas tuduhan rasuah RM2.8 juta sebagai satu salah laksana keadilan.

Menerusi penghakiman yang bertarikh 20 April lalu, Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, ini kerana ia bertentangan dengan keterangan dua saksi yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen di sini.

Iklan
Iklan

Dua saksi ialah Madhi Abdul Hamid, 45, dan perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 47, masing-masing selaku saksi pendakwaan (SP) ke-24 dan ke-25.

Menurutnya, dua saksi utama pendakwaan ini, dengan jelas menyatakan, tiada unsur suapan berlaku dalam kes tersebut.

Iklan

Beliau berkata, ketika pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan, SP24 menafikan kenyataan bertulis yang diberi semasa siasatan, merupakan kejadian sebenar yang berlaku.

"SP25 juga membuat pengesahan perkara sama, bahawa tiada unsur suapan atau permintaan untuk hal sedemikian.

Iklan

"Ini kerana tiada permintaan sedemikian daripada kedua-dua tertuduh yang mana SP25 ini seterusnya mengesahkan wang (RM2.8 juta) yang dibayar kepada tertuduh ke-2 adalah bayaran pengenalan,” kata penghakiman itu.

Walaupun tiada bukti berlaku rasuah, (berdasarkan keterangan saksi di mahkamah), Azhar berkata, hakim mahkamah rendah tetap memilih untuk menerima kenyataan dua saksi, yang direkodkan oleh SPRM.

Berdasarkan isu tersebut, beliau berpendapat bahawa, keputusan hakim mahkamah rendah yang mendapati kes prime facie adalah jelas terkhilaf.

"Saya berpendapat bahawa, adalah sesuai dan wajar untuk Mahkamah Tinggi melaksanakan kuasa semakannya.

"Oleh itu, kedua-dua permohonan dibenarkan dan keputusan mahkamah sesyen diketepikan, ia digantikan dengan perintah pembebasan dan pelepasan tanpa meminta mereka membela diri,” katanya.

Pada 3 Mei 2019, Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Ahli politik itu juga didakwa menerima suapan RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu.

Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan pasangan suami isteri ini membela diri atas tuduhan berkenaan.

Pada 7 Julai 2023, Mahkamah Rayuan memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan Pengerusi BN Sabah ini dan Zizie Izette, untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan pasangan itu membela diri.

Pada 7 September tahun sama, Mahkamah Tinggi di sini kemudiannya membenarkan permohonan semakan pasangan ini berhubung keputusan berkenaan.

Susulan keputusan itu, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid melepas dan membebaskan pasangan suami isteri itu daripada tuduhan berkenaan.

Susulan itu, pendakwaan memfailkan rayuan pada 18 September berhubung keputusan pembebasan mereka dan Mahkamah Rayuan menetapkan 29 Julai depan bagi mendengar rayuan tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!