Kedah, syarikat Korea bangunkan sistem rel maglev di Langkawi

Iklan
Ilustrasi jajaran pengangkutan rel kereta api laju, maglev yang akan dibangunkan di Pulau Langkawi.

ALOR SETAR - Kedah akan membangunkan sistem pengangkutan rel kereta api laju dikenali sebagai maglev di Pulau Langkawi dalam tempoh terdekat.

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Haim Hilman Abdullah berkata, maglev mesra alam tersebut menggunakan kepakaran sistem pengangkutan moden dari Korea bagi membangunkan hab bersepadu merangkumi sistem aliran rel dan pusat komersial.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai permulaan, satu kajian menyeluruh akan dibangunkan oleh pakar dari Korea berkaitan potensi pembangunan infrastruktur berkenaan di Pulau Langkawi yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

"Kerajaan negeri berhasrat membina jaringan dengan syarikat antarabangsa bagi tujuan pembangunan negeri, antaranya jaringan pengangkutan dan pembangunan bersepadu.

Iklan

Terdahulu, satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Royal Eco Train Development (RETD) Korea dengan Q-plex yang merupakan rakan strategik RETD di Malaysia bersama Permodalan Kedah Berhad (PKB) bagi projek sistem teknologi maglev serta ‘Transit Oriented Developments’ (TOD) di Langkawi.

Majlis menandatangani diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RETD Co Ltd, Lee Changwook dengan Mohd Azad Jasmi selaku CEO PKB, disaksikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Majlis menandatangani diwakili Lee Changwook (kanan) bersama Mohd Azad (kiri), disaksikan Muhammad Sanusi di Wisma Darul Aman.

Iklan

Kerjasama ini dijangka memulakan siri projek transformasi oleh RETD Korea, selain membawa pelaburan besar ke negeri Kedah dalam tempoh 10 tahun akan datang, dan akan merubah landskap negeri serta mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat inovasi dan kelestarian.

Haim Hilman berkata, RETD Korea merupakan syarikat berpengalaman dalam pembangunan infrastruktur, iaitu sistem pengangkutan rel Maglave yang turut dibangunkan pusat komersial di stesen-stesen transit sebagai hub komersial.

"Inilah model yang sedang dikaji oleh syarikat ini bagi membolehkan satu bentuk pembangunan baharu dapat dilakukan di negeri kita.

"Selepas kita peroleh hasil kajian, kita perincikan pembangunan bersesuaian untuk dapatkan gambaran menyeluruh tentang potensi yang ada di Langkawi.

"Fokus pertama kita perkasakan prasarana terlebih dahulu untuk menjadi destinasi pelancongan yang kompetitif kerana kita perlukan prasarana yang jauh lebih ke hadapan seperti negara maju,” ujarnya.

Menurutnya lagi, projek jajaran pengangkutan ini akan bermula dari Jeti Kuah ke Pantai Chenang bagi fasa pertama, sebelum diperluaskan ke destinasi pelancongan sekitar Langkawi secara berfasa.

"Akhirnya kita mempunyai rangkaian sistem yang terbaik, mungkin di Asia, kita mahu konsep pengangkutan di pulau itu berubah dengan membawa perubahan besar ke pulau itu agar kekal sebagai destinasi pelancongan terbaik.

"Dengan adanya pengangkutan yang sempurna sebagai tarikan baharu, kita tidak hanya menjual keindahan, kerjasama strategik ini bukan sahaja membawa pelabur membangunkan infrastruktur dan pusat komersial tetapi termasuk perumahan,” jelasnya.

Pertukaran dokumen perjanjian antara RETD dan PKB disaksikan Muhammad Sanusi bagi membangunkan rel maglev di Langkawi.

Menurutnya, pembangunan rel berteknologi tinggi ini tidak akan meminggirkan pihak lain yang berkepentingan seperti pengusaha kereta sewa dan teksi, kerajaan negeri akan meneliti kolaborasi bagi menjadikan mereka sebahagian daripada ekosistem.

"Projek ini juga tidak akan jejaskan alam sekitar dan ekosistem sedia ada. Ia akan beri impak positif disebabkan kita menggunakan teknologi terkini selain memastikan keindahan dan kehijauan Langkawi tidak terjejas,” ujarnya.

Haim Hilman berkata, teknologi yang digunakan di lapangan terbang Incheon, Korea ini juga akan membangunkan Pembangunan Stesen Inovatif berkonsepkan TOD, berkonsepkan mesra alam untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat tempatan.

"Tarikan bertaraf dunia ini akan merangsang ekonomi tempatan dan mewujudkan permintaan tinggi dalam sektor hospitaliti, runcit, hiburan, dan industri berkaitan perkhidmatan.

"Peningkatan dalam aktiviti ekonomi ini seterusnya meningkatkan kebolehpasaran penduduk, memupuk pertumbuhan mampan dan kesejahteraan.

"Ia juga mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia - Korea, selain memupuk kerjasama erat dalam bidang kepentingan bersama,” katanya.

Menurutnya, ia juga membuka jalan kepada perkongsian dinamik yang bukan sahaja meletakkan Pulau Langkawi dan bandar Incheon sebagai ‘bandar berkembar; tetapi juga menggariskan kewujudan Langkawi sebagai 'The Incheon of The East'.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!